Arkib

Arkib Pengarang

Islam Dan Politik Kepartian Malaysia: Membentuk Pendirian Berasaskan Maqasid Shariah (Asas dan Limitasinya)

Islam Dan Politik Kepartian Malaysia: Membentuk Pendirian Berasaskan Maqasid Shariah (Asas dan Limitasinya)

Abstrak

Tulisan ini berkaitan dengan keperluan memahami isu politik kepartian di Malaysia dari perspektif Islam. Tujuan tulisan ini adalah untuk mendedahkan kepada masyarakat tentang keperluan memahami situasi, peranan, orientasi dan maksud daripada politik kepartian sehingga ia boleh membawa manfaat kepada kepentingan Islam dan umat Islam. Terdapat di sana lompong yang besar dalam memahami pengoperasian konsep kepelbagaian parti politik dalam cuaca politik di negara ini. Tulisan ini berharap agar parti politik Islam dapat memainkan peranan saling menyempurnakan ke arah membina Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Pendahuluan

Politik kepartian pada asasnya lahir dari sistem demokrasi. Di Malaysia, ia bermula pada tahun 1955 apabila ia menerima sistem demokrasi sebagai kaedah pemerintahan di samping sistem beraja. Tiada dalam pengalaman Islam sepanjang sejarah, tertubuhnya parti politik dalam sistem pemerintahan negara. Ini bermakna kehidupan demokrasi dalam sistem politik Islam adalah satu pengalaman baru bagi umat Islam. Bagaimana amalan demokrasi harus disaring untuk mencapai objektif kehidupan berteraskan maqasid syara’ belum sampai ke tahap matang.

Malaysia seperti negara Islam lain menerima demokrasi Barat secara bertapis. Secara umumnya, kita mengamalkan pilihan raya tetapi masih mengekalkan nilai asal yang diwarisi dari pengalaman pemerintahan Islam ynng lampau. Negara Islam tidak menerima sepenuhnya falsafah demokrasi ala Barat. Prof. Said Asymawi bila ditanya tentang status negara Islam hari ini sebagai negara demokrasi, ia menjawab tidak. Sebaliknya negara umat Islam masih mewarisi sistem pemerintahan Islam dari zaman silam..

Isu penerimaan terhadap sistem demokrasi pilihan raya menjadi perbahasan hangat dalam kalangan gerakan Islam satu masa dahulu. Demokrasi memberi ruang penyertaan rakyat dalam menentukan dasar dan hala tuju negara. Umat menjadi sumber kuasa dan hak umat dalam memuhasabah pemerintah dianggap nilai yang baik dalam demokrasi. Imam Hasan al-Banna menerima sistem demokrasi pilihanraya secara umum dengan beberapa cadangan penambahbaikan. Saya berpendapat bahawa kita masih perlu mengolah demokrasi berasaskan nilai Islam atau nilai ketimuran.

Ini adalah satu satunya penyelesaian politik yang akan memihak kepada Islam dan umat Islam. Ada pun menerima liberal demokratik Barat sepenuhnya dari segi falsafah dan nilai akan merosak dan merugikan umat Islam. Kemungkinan ketidakmatangan pengalaman politik dalam membangunan sistem politik ala Islam telah membawa negara kita kepada perbalahan politik yang mengundang kemusnahan terhadap Islam dan umat Islam sendiri. Matlamat perjuangan parti politik umat Islam tidak dipandu oleh garis panduan bagi mencapai maksud siasah syariyyah yang umum.

Hari ini perbalahan politik dalam kalangan umat Islam sampai ke tahap yang membahayakan. Dengan maksud kemungkinan meruntuhkan sistem politik demokrasi bertapis kepada demokrasi terbuka yang akan meletakkan Islam dan umat Islam di bawah konsep samarata dengan agama dan umat yang lain. Keinsafan menuntut kita bersatu, bersepakat dalam mematangkan amalan demokrasi berasaskan nilai tempatan. Namun begitu, permusuhan politik telah dikuasai dendam yang hanya tahu meruntuh. Tanpa peduli alternatifnya nanti akan memberi ruang untuk kita membangunkan politik atas asas siasah syariyyah atau cita cita tersebut akan terkubur terus.

Krisis politik kepartian di Malaysia

Parti-parti politik umat Islam di Malaysia bagi saya berada dalam keadaan krisis dari segi fungsi dan hubungan, dalam konteks menghidupkan amalan demokrasi di Malaysia. Mereka sepatutnya memainkan peranan saling melengkap dan membina. Namum begitu apa yang berlaku ialah berkonfrantasi sepanjang masa antara satu sama lain. Ini berpunca daripada tidak jelas hubungan siasah syariyyah dalam orientasi demokrasi di Malaysia. Satu pihak menganggap sistem yang ada sudah cukup munasabah manakala pihak yang lain menganggapnya salah dan bertentangan dengan Islam. Barangkali persoalan besar yang belum terungkai semenjak sekian lama ialah dari segi status Malaysia sebagai negara Islam.

Sehingga kini terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama Islam termasuk mereka yang menyertai gerakan Islam dalam menilai keIslaman negara Malaysia. Ada yang menganggapnya sebagai negara kafir dan ada yang sebaliknya. Oleh itu bagi menjelaskan latar belakang terhadap permasalahan tajuk saya utarakan dahulu perbincangan tentang keIslaman negara Malaysia.

Pengertian negara Islam

al-Rashid dalam bukunya Usul Ifta’ (2007) telah membawa pandangan beberapa ulama dalam mencari definasi kepada negara Islam. Beliau menukilkan kesimpulan yang dibuat oleh Sheikh Abdullah al-Qadiri bahawa negara Islam ialah bumi di mana hukum Allah dominan(zohir). Keadaan itu tidak berlaku kecuali apabila pemerintahnya adalah muslim yang komited dengan syariah dan melaksanakan hukumnya. Dalam keterangannya, Sheikh tersebut berpendapat, hukum Islam itu menjadi dominan (zuhur) apabila hukum hakam Islam menjadi dominan dan kalimah muslimin yang terlaksana. Ditegakkan syiar Islam dan rukunnya, dilaksanakan hudud dan qisas, diambil hak untuk orang yang dizalimi dari orang yang zalim dan dikibarkan padanya bendera tauhid dan dijatuhkan bendera kufur.

Pandangan ulama Islam sama ada yang silam atau kontemperori hampir sama antara satu sama lain walaupun ungkapannya berbeza. Kesimpulannya ialah dua unsur yang perlu ada dalam pengertian negara Islam iaitu kekuasaan dan berjalannya hukum syariat. Persoalannya ialah apabila sesebuah negara Islam itu terbentuk dengan sifat yang disebutkan, kemudian hilang salah satu atau kedua-dua ciri yang disebutkan iaitu kekuasaan dan perlaksanaan hukum dengan sebab penjajahan atau seumpamanya, adakah hilang sifat keIslaman negara tersebut?

al-Rashid berpendapat bahawa negara Islam tidak akan menjadi negara harb dengan sebab kekufuran pemerintah. Menurut al-Rasyid, mana-mana negara Islam yang dijajah oleh penjajah kekal sebagai negara Islam. Palestin adalah negara Islam walaupun dijajah oleh Yahudi. Begitu juga Republik Soviet Union yang dahulunya Islam kemudian dijajah kekal sebagai negara Islam. Bahkan kata beliau, bagi saya walaupun dalam tempoh yang lama, selama masyarakatnya masih Islam.

Berdasarkan ijtihad ini, termasuklah juga negara Islam yang diperintah oleh pemerintah dalam kalangan umat Islam atau parti dalam kalangan mereka. Walaupun mereka memerintah dengan hukum yang bercanggah dengan syariat, menggunakan mazhab sekular, negara ini kekal sebagai negara Islam yang ditimpa musibah dan perlu diselamatkan melalui proses perubahan.

Adakah Malaysia sebuah negara Islam?

Dari keterangan diatas jelaslah kepada kita bahawa dengan apa tafsiran sekali pun Malaysia adalah sebuah negara Islam. Malaysia pada zaman Melaka telah menjadi sebuah Empayar Islam selama hampir tiga ratus tahun, kemudian dijajah selama 640 tahun sebelum mendapat kemerdekaan pada tahun 1957. Mana-mana negara Islam yang dijajah kemuadian mencapai kemerdekaan, ia kekal sebagai negara Islam walaupun tidak sempurna perlaksanaan Islamnya.

Apa yang kurang?

Walaupun dari segi hukum atau status, negara Malaysia adalah sebuah negara Islam. Ini tidak bermakna bahawa Malaysia telah melaksanakan sistem mengikut kaedah siasah syariyyah. Dari segi struktur tidak ada masalah yang menghalang Malaysia dari mengaplikasikan sistem pemerintahan berdasarkan siasah syariyyah. Yang di Pertuan Agong sebagai khalifah atau ketua negara, Perdana Menteri sebagai wazir tafwidh, parlimen sebagai majlis syura dan begitulah seterusnya.

Pada pengamatan saya, ada beberapa perkara yang masih memerlukan kepada penambahbaikan:

Pertama; Hubungan antara perkara 3(1) dalam perlembagaan dalam mempengaruhi tindak tanduk eksekutif atau Perdana Menteri yang sepatutnya melaksanakan dasar dan polisi terikat dengan sumpah Yang di Pertuan Agong.

Kedua; Kuasa yang diperuntukkan kepada pihak berkuasa agama berdasarkan jadual sembilan jauh lebih kecil daripada yang sepatutnya Islam sebagai agama negara. Dengan erti kata lain sepatutnya mahkamah syariat mengambil tempat mahkamah sivil.

Ketiga; Ciri-ciri pemimpin utama di peringkat yang tertinggi, peringkat Perdana Menteri dan ahli dewan parlimen dan dewan rakyat.

Keadaan ini meletakkan Malaysia dalam keadaan perbahasan fiqh. Bagaimana tingkah laku politik dalam keadaan tidak sempurna sifat dan syarat dalam beberapa perkara. Ulama dan pemimpin Islam pada era kemerdekaan telah berijtihad. Walaupun disebabkan faktor dalaman atau luaran ciri negara Islam tidak dapat dipenuhi sepenuhnya, namun mereka telah meletakkan dalam perlembagaan peruntukan yang menjamin semaksima mungkin kehendak siasah syariyyah terpelihara. Sebagai contoh, kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan, hak keistimewaan orang Melayu dan Bumi putra, kedudukan institusi raja dan bahasa Melayu tidak boleh diubah oleh sesiapapun. Ini merupakan ijtihad berpandukan maslahah (ijithad maslahi) yang telah dilakukan oleh orang terdahulu.
Berdasarkan keterangan di atas, adalah menjadi kewajiban kepada semua parti politik umat Islam untuk menyempurnakan pengisian bagi sebuah negara Islam yang sempurna mengikut siasah syariyyah. Perhubungan antara parti politik tidak sepatutnya bercanggahan antara satu sama lain sehingga ke tahap menghukum. Kita harus menerima keadaan yang ada sebagai hasil dari ijtihad maslahi berdasarkan kekangan yang ada pada masa itu. Cabaran semasa juga tidak kurang hebatnya. Oleh itu perjuangan mengisi pemerintahan mengikut maksud syara’ perlu dilaksanakan dengan pintar, bijaksana dan cermat.

Kepelbagaian parti dalam negara Islam.
Menurut Prof. Dr. Solah al-Sowi (2011), kepelbagaian parti politik dalam bentuk yang dipraktikan dalam realiti kita hari ini (dalam bentuk blok- blok politik menggunakan cara demokrasi untuk sampai ke tampuk pemerintahan bagi melaksanakan program politik tertentu) adalah merupakan pendekatan baru yang tidak berlaku dalam praktik umat pada zaman silam. Menurut beliau, terdapat tiga aliran ijtihad masa kini berkenaan isu tersebut:

Pertama: Mengharamkan kepelbagaian parti politik sama sekali

Golongan ini berpendapat bahawa sistem berbilang parti tidak ada ruang dalam masyarakat Islam. Kaedah bermazhab dalam Islam tidak termasuk politik, kerana ia merungkai usul dan kaedah syara’. Ia juga membawa kepada kesan yang buruk dan tidak diingini. Oleh itu perlu berpegang kepada kaedah menutup pintu jalan (saddu al-zariah).

Kedua: Mengharuskannya secara keseluruhan

Golongan ini bukan sahaja berpegang kepada konsep kepelbagaian dalam konteks berpegang dengan konsep ketuanan syariah sahaja, malah membuka pintu seluas luasnya. Mereka berpendapat bahawa kepelbagaian mazhab dalam Islam merangkumi kepelbagaian yang lebih jauh. Termasuklah parti sosialis yang mengingkari Tuhan, sekular dan seumpamanya. Mereka menolak pemerintahan yang mengumpul kuasa pada seorang individu. Ini adalah kerana kuasa seumpama ini mengandungi maksud membunuh kehendak manusia, mensia-siakan potensi rakyat dan membawa negara kepada keganasan. Mereka sebaliknya, mengakui hak setiap kuasa rakyat dalam mengunakan hak kebebasan bersuara, berkumpul dan segala macam hak yang sah dengan kerjasama seluruh kuasa nasional. Antara yang ketara menyeru kepada aliran ini ialah gerakan ittijah Islamis Tunis.

Ketiga: Mengharuskannya dalam kerangka usul Islam. Iaitu dalam ruang lingkup ketuanan syariah dan tidak keluar dari landasan yang thabit (tetap).

Kebanyakan pengkaji masa kini cenderung kepada pandangan ini. Kemungkinan disebabkan oleh kediktatoran yang dialami oleh kebanyakan negara Islam dan terpesona dengan kebebasan yang dibanggakan oleh masyarakat Barat. Berbagai andaian telah dibuat. Apa pun ia telah menjadi hakikat realiti. Kebanyakan penulisan moden menjurus ke arah itu dan cuba mencari sandaran hukum yang diterima dalam sistem pemikiran Islam.

Antara landasan kepada aliran ini ialah mereka berhujah dengan siasah syariyyah. Asal hukum dalam muamalat adalah harus. Ini termasuk dalam bab sesuatu yang tidak sempurna kewajiban kecuali dengannya maka hukumnya wajib. Kaedah hukum sesuatu urusan mengikut tujuannya, kaedah al-ma’laat, kaedah menjaga hak, kebebasan umum dan lain lain.

Perlaksanaan dalam struktur negara Islam

Menurut Prof. Dr. Solah al-Sowi (2011), perlaksanaan konsep kepelbagaian politik dalam konteks struktur sistem politik Islam (nizam imamah) adalah termasuk di bawah konsep wizarah tafwidh yang disebutkan oleh al-Mawardi (1966) dan Abi Ya’li dalam al-Ahkam al-Sultaniyah.
Yang penting bagi kami dalam perbahasan ini ialah wizarah tafwidh, adalah pintu masuk yang munasabah terhadap kepelbagaian politik dan sistem perwakilan Islam (parlimen) lahir dalam lingkungan Islam di samping memelihara reka bentuk asal bagi sistem al-khilafah dan tidak menyentuh lingkungan umum (kulliyah) dan paksinya yang asas.

Konsep wizarah tafwidh (empowerment)

Wizarah tafwidh bermaksud seorang ketua atau imam menyerahkan (empower) kepada menteri urusan pemerintahan mengikut pendapatnya dan melaksanakannya mengikut ijtihadnya. Ini merupakan satu bentuk mandat (wilayah) yang paling menyeluruh secara keseluruhan dalam pemerintahan negara Islam selepas imam. Ini kerana menteri yang diberi mandat secara tafwidh (empower) memiliki kuasa untuk menguruskan semua bidang kuasa khalifah, tanpa kecuali. Menurut al-Mawardi seorang menteri diberi mandat tafwidh (empower) kecuali pada melantik pengganti, minta lepas tugas dari ummah, memecat orang yang dilantik oleh imam. Selain daripada itu, ia memiliki kuasa yang sama. Keadaan ini menyamai kedudukan Perdana Menteri dalam sistem parlimen hari ini.

Memandangkan kepentingan jawatan Ketua Menteri, para fuqaha’ menetapkan syarat yang sama dengan syarat imam kecuali syarat keturunan. Hikmahnya jelas iaitu kerana Perdana Menteri mengambil tempat khalifah dalam segala bidang kuasanya. Oleh sebab itu maka wajiblah disyaratkan segala syarat yang menjamin beliau dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna.

Garis panduan politik kepartian

Menurut al-Sowy (2011), kepelbagaian politik boleh membawa kesan negatif kepada masyarakat sekiranya tidak diurus mengikut panduan mengawal. Antara kesan negatif yang dikenal pasti;

1- Perpecahan umat dan mencarikkan wala’
2- Bersaing untuk merebut kepimpinan
3- Melantik diri sendiri (tazkiah al-nafs)
4- Menjatuhkan orang lain
5- Menjatuhkan kerajaan
6- Jauh dari agama
7- Bermudah-mudah dengan agama
8- Keluar dari jamaah Islam

Garis panduan berkaitan isu perpecahan umat dan mencarik wala’

Bagi mengelakkan berlakunya perpecahan umat dan mencarikkan wala’ disebabkan kepelbagaian politik kepartian, parti politik umat Islam disarankan menjaga perkara berikut;
1. Kesemua parti mestilah berpegang pada kerangka dasar Islam yang tetap iaitu al-Quran, Sunnah dan Ijma’ ulama.

2. Selain kerangka dasar Islam yang tetap tersebut, kepentingan tertinggi kedudukan Islam dalam negara hendaklah menjadi faktor penyatuan antara parti. Faktor penyatuan itulah yang menghimpunkan semua parti, menjadikan mereka bagai satu suara, satu kuasa mendepani usaha-usaha pihak luar yang mahu menggugat kedudukan itu.

3. Kepentingan umat keseluruhannya hendaklah menjadi ganti kepada kepentingan parti. Wakil rakyat hendaklah membawa suara kebenaran dan kepentingan umat, mengatasi kepentingan politik kepartian. Mengutamakan kepentingan parti mengatasi suara kebenaran dan kepentingan umat merupakan satu jenayah asobiah jahiliyah yang ditegah oleh Nabi Muhamad S.A.W.

4. Memberikan ketaatan kepada kepimpinan tertinggi (al-Imam al-A’zam) sebagai simbol kesatuan dan perpaduan. Posisi kepimpinan tertinggi (al-Imam al-A’zam) hendaklah berada jauh daripada pertelingkahan politik kepartian. Ia menjadi benteng keadilan bagi semua pihak, mengeluarkan perintah pada waktu krisis memuncak dan mengembalikan semua pihak ke pangkal jalan. Dengan cara demikian, kekeliruan mengenai “الجروج على الجماعة” dapat dihapuskan.

Garis panduan berkaitan dengan perebutan merebut kepimpinan

Bagi mengelakkan kesan negatif akibat dari persaingan dalam kepelbagaian politik kepartian, beberapa langkah telah digariskan dengan harapan ia dapat mengurangkan kerosakan dan perebutan kuasa;

1. Pencalonan bagi pihak parti
2. Neraca penilaian berdasarkan program dan ijtihad politik yang matang

Garis panduan bagi mengelakkan berlaku insiden memuji diri dan menjatuhkan keperibadian lawan

1. Menghadkan kempen pada kadar cukup untuk menjelaskan isu dalam lingkungan kebenaran dan objektif
2. Penjelasan dan pujian calun berpaksikan program yang dicadang untuk penambahbaikan
3. Beriltizam dengan garis panduan yang ditetapkan oleh syarak dalam bab hisbah
4. Bertindak tegas terhadap pelanggaran yang berlaku dalam lingkungan ini

Garis panduan bagi mengelakkan berlakunya sifat bermudah-mudah dalam persaingan

1. Mengumumkan bahawa kepelbagaian hanya dalam perkara yang berkisar pada masalah furu’ dan masalah ijtihad bukan dalam soal usul yang tetap dalam kitab, sunnah dan Ijma’ ulama.
2. Menjaga adab berdialog dan adab perselisihan pendapat.

Malaysia adalah sebuah negara raja berparlimen. Yang di Pertuan Agong dan sultan secara strukturnya mengambil tempat imam al-a’zam dan Perdana Menteri sebagai wazir tafwidh. Sistem kepartian berligar dalam kerangka wizarah tafwidh dan tidak boleh lebih dari itu. Secara struktur kita dapat melaksanakan sistem kepelbagaian politik mengikut garis panduan dan disiplin yang dicadangkan.

Sejauhmana kepelbagaian terbuka kepada parti non muslim?

Menurut al-Sowy (2011), kepelbagaian yang boleh diterima ialah dalam ruang lingkup kepelbagaian yang komited dengan ketuanan syariah dan yang berligar pada kitaran orbit usul syariat Islam yang muktamad. Ada pun kepelbagaian mutlak yang memberi laluan kepada puak komunis, penyembah berhala, Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin umat dan menjadi ahli al-hal wa al-aqd serta memberi ruang kepada syariat syirik dan kufur menguasai negara Islam, maka ia adalah ditolak dan mungkar yang tidak boleh diterima sama sekali.

Pertukaran kuasa secara aman (Tadawul al-sultah bi al-silmi)

Pengertian penting yang terkandung dalam mafhum demokrasi juga ialah perubahan undang-undang dengan cara undang-undang atau perubahan kuasa dengan cara damai. Saya menganggap demokrasi dengan mafhum ini adalah kemuncak dalam pengalaman manusia dalam menguruskan pertukaran kuasa dalam sejarah. Kita sering membaca pertumpahan darah yang berlaku sepanjang sejarah akibat daripada perebutan kuasa dalam kalangan umat manusia. Demokrasi menyediakan ruang yang mengizinkan perubahan kuasa berlaku secara aman. Pada pandangan saya dalam ruang demokrasi yang ada sekarang tidak timbul lagi isu berkaitan dengan keharusan pertukaran kuasa secara umum.

Namun dalam ajaran Islam perubahan pemerintahan hendaklah dilakukan dengan alasan dan sebab yang syar’ei dan pertimbangan baik buruk yang tepat. Ia bukan hawa nafsu tetapi dilakukan apabila imam atau pemimpin telah hilang kelayakan untuk memerintah, sama ada dari segi amanah dan kuasa (quwwah) atau dari segi kemampuan (kifayah) dan kebebasan (istiqlal). Imam al-Haramain al-Juwaini (1979) mengulas isu ini secara panjang lebar dalam kitab al-Ghiyathi. Beliau berpendapat perubahan pemerintahan boleh dilakukan berdasarkan kaedah pengimbangan antara keburukan dan kebaikan (al-muwazanah baina maslahah wa mafsadah).

Ulama dahulu mengetatkan syarat dalam urusan menjatuh atau menukar pemerintah. Syarat yang ketat ini menggambarkan seolah-olah menutup pintu kepada pertukaran ini, kerana pengalaman masa lalu. Perebutan kuasa pada masa lepas telah meyebabkan berlakunya pertumpahan darah yang banyak dan kerosakan harta benda yang tidak terhingga. Di atas dasar yang sama (pengimbangan antara buruk dan baik) para ulama silam mengesahkan sistem beraja dan kepimpinan yang diambil secara keras.

Menurut al-Juwaini (1979) sekiranya kita dapat memastikan perlantikan pemimpin (imam) tanpa melalui rempuhan yang sia sia, tumpah darah, terpaksa berdepan dengan situasi goncangan yang sangat buruk, melayang nyawa, merosakkan harta benda, maka beliau berpendapat, hendaklah dibandingkan keburukan keadaan manusia yang sedia ada dengan suasana baru yang dijangkakan. Jika sekiranya keadaan yang sedia ada lebih teruk dari yang dijangkakan, maka wajib menanggung suasana baru yang dijangkakan untuk menolak bala yang sedia ada. Sekiranya keadaan dijangkakan lebih teruk berbanding suasana yang sedia ada, maka tidak harus sibuk untuk melakukan perubahan, sebaliknya hendaklah berterusan dalam keadaan yang sedia ada.

Pendapat al-Juwaini ini menunjukkan kepada keadaan imam yang kehilangan kelayakan kerana hilang syarat kelayakan dan tidak lagi mampu melaksanakan amanah sebagaimana yang sepatutnya. Pada waktu itu, perkiraan maksud siasah shariyyah mestilah diambil kira. Ia hendaklah dilakukan mengikut kaedah ijtihad yang tetap. Saya berpendapat keadaan yang sama sedang berlaku dalam sistem politik di negara kita hari ini. Pertukaran kuasa tidak sepatutnya berlaku mengikut kehendak demokrasi semata-mata tetapi hendaklah melalui ijtihad fiqh mengikut kaedah pengimbangan antara keburukan dan kebaikan (muwazanah baina mafsadah wa maslahah).

Selain daripada itu, Imam al-Haramain al-Juwaini juga meletakkan syarat perubahan kuasa mestilah melahirkan kepimpinan baru yang lebih dominan yang akan melaksanakan tanggungjawab.

“Sesungguhnya orang yang menjadi imam, apabila besar jenayahnya, banyak pelampauannya, tersebar kediktatorannya, terbongkar penyelewenganya, berterusan kesilapannya, dan ditakuti oleh sebab itu akan hilang pengawasan (al-baidhah) dan runtuh tunggak Islam, tiada pengganti yang boleh menggantikannya, menyingkirnya seperti menentang bughah, kita tidak boleh membenarkan individu dari hujung negeri untuk melakukan revolusi. Kerana kalau mereka melakukan demikian tentu mereka akan musnah. Itu menjadi sebab kepada bertambah buruk malapetaka dan menimbulkan lebih banyak fitnah. Namun begitu sekira terdapat seorang lelaki yang ditaati, memiliki pengikut yang ramai, bersedia melakukan perubahan kerana Allah, menyuruh kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran, bersedia membela orang Islam, hendaklah ia maju ke hadapan dan Allah akan membantunya mengikut syarat yang terdahulu dari segi memelihara maslahah dan menilai kejayaan serta menimbang antara mudhorat yang akan berlaku dengan mudhorat yang sedia ada”.

Saya berpendapat kenyataan Imam al-Haramain al-Juwaini menunjukkan pada waktu pemimpin (imam) telah hilang syarat kelayakan untuk melakukan perubahan, ia memerlukan kepada ijtihad berpandukan maslahah (ijtihad maslahi). Iaitu perbandingan antara keburukan (mafsadah) dan kebaikan (maslahah) secara menyeluruh, antara kemudharatan dalam situasi yang sedia ada dengan situasi baru yang dianggarkan. Ia hendaklah dilakukan oleh satu kuasa yang dominan yang boleh secara pasti perubahan ini boleh mengembalikan kepimpinan Islam kepada keadaan yang asal.

Kesimpulan

Saya berpendapat walaupun kita bersetuju bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam dari segi takrif dan istilah, tetapi pengamalan siasah shariyyah di dalamnya tidak sempurna atau menyeluruh. Terdapat kecacatan di sana sini dari segi syarat perwakilan, ciri-ciri pemimpin, kaedah akad kontrak dan kuasa bagi mendaulatkan Islam dan memelihara martabat umat Islam. Saya berpendapat pendirian politik pada waktu ini harus dibuat berdasarkan fikh tiada daulah. Di mana umat Islam perlu dalam pendirian politiknya memastikan kondisi politik umat Islam berada pada tahap terpelihara sehingga dapat mempertahankan kepentingan Islam dan umat Islam seperti yang tercatat dalam perlembagaan. Ini pada tahap yang paling minimum. Sekiranya dilihat pada pandangan patut umat Islam harus berusaha untuk mengatasi cabaran politik yang memaksa pada zaman dahulu dan mencipta kondisi politik baru yang membolehkan mereka melaksanakan siasah shariyyah secara sempurna.

Oleh itu kita perlu mengambil pendekatan beransur-ansur (tadaruj) dalam langkah pengislahan (perubahan) melalui cara pembangunan umat; dakwah dan tarbiyah. Bukan dengan cara perubahan dari atas semata-mata iaitu melalui politik. Ini kerana manhaj pelaksanaan siasah shariyyah memerlukan kepada proses penyediaan umat. Kuasa politik pada hakikatnya adalah terbit dari keadaan umat itu sendiri. Kita sering mendengar ungkapan yang menyebut sebagaimana kamu begitulah juga pemimpin yang akan memimpin kamu. Perubahan politik memerlukan terlebih dahulu perubahan terhadap aqidah dan kefahaman umat.

Bukti yang jelas kita dapat lihat pada hari ini ialah apabila umat Islam sendiri di sana sini menentang dan menolak hukum Islam. Kemudian parti politik dalam keadaan ini akan tunduk kepada kehendak masyarakat dan memiliki kefahaman yang bercampur baur. Bagi mendapat undi walaupun pada laungannya ingin mendaulatkan Islam.

Satu fakta yang penting juga ialah arahan melaksanakan fardu kifayah adalah kewajipan ke atas bahu umat. Pemerintah bagi pihak umat melaksanakan tuntutan fardu kifayah tersebut agak sukar digambarkan dalam keadaan umat tidak faham. Mereka tidak bersedia untuk dibebankan dengan tanggungjawab pelaksanaan siasah shariyyah. Tanggungjawab pemerintah untuk berusaha mengukuhkan dan meninggikan kedudukan Islam dan memartabatkan umat Islam. Melalui pelbagai agensi yang sedia diperuntukkan untuk tujuan tersebut di dalam perlembagaan.

Di samping usaha berterusan untuk mendidik dan membangunkan umat Islam agar memahami dan memiliki kemampuan untuk mengisi keperluan sebuah negara berasaskan siasah shariyyah. Parti pembangkang pula boleh memainkan peranan amar makruf nahi mungkar, memuhasabah pemimpin, melakukan hisbah, sebagai kuasa pendesak, pengimbang kuasa dan sebagainya. Semua tindak tanduk politik hendaklah mengarah kepada memelihara dan memperkukuhkan muhtasabat supaya perbalahan politik tidak mengakibatkan kehilangan kuasa (doya’ al-baidhoh).

Oleh itu saya mencadangkan parti parti politik umat Islam:

1. Perlu sepakat bagi mencari jalan memperkasakan kedudukan Islam dan martabat umat berlandaskan peruntukan peruntukan yang sedia ada
2. Berbincangan untuk mengatasi tiga kepincangan yang wujud dalam sistem sekarang secara muwafakat dan ansur maju
3. Mengkaji semula dasar hubungan dengan parti parti bukan Islam agar hala tuju Malaysia kearah kesempurnaan tidak tergugat
4. Menolak dasar liberal yang akan menghakis kedudukan Islam, hak keistimewaan melayu dan mengancam intitusi raja.
5. Memastikan peranan politik non muslim dalam mana mana tahaluf siasi tidak melebihi kuasa tanfizi
Rujukan
Al-Quran al-Karim
Abu Zuhraah, Muhamad. 1958. Usul fiqh. Kaherah: Dar Fikr al-Arabi.
Bayyah, Sheikh Abdullah bin Sheikh al-Mahfuz. 2007. Amali al-dilalat wa majali al-ikhtilafat. Jeddah: Dar al-Minhaj.
Al-Ghazali, Abu Hamid Mohamad bin Mohamad. 1994. Al-Mustasfa fi ilm al-Usul. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah.
Ibn Khaldun, Abd. Rahman bin Muhamad. Tanpa tahun. Mukaddimah Ibn Khaldun. Beirut: Dar Ihya’ Turath al-Arabi.
Izzudin, Abi Muhamad Abd. Aziz Abd. Salam al-Silmi. 1990. Qawaed al-ahkam. Beirut: Dar aal-Rayyan.
al-Juwainy, al-Imam al-Haramain Abi al-Ma’aly. 1979. Ghiyathu al-umam fi al-tayathi al-zulam. Iskandariah: Dar al-Dakwah
al-Mawardi, Mahmud. 1983. Al-Khilafah baina al-tanzir wa al-tatbiq. Dirasat fi fiqh al-siyasi.
al-Mawardi, Abi al-Hasan Ali bin Muhamad bin Habib al-Basri al-Baghdadi. 1966. al-Ahkam al-sultaniyah wa al-wilayat al-diniyah. Kaherah: Dar al-Fikr.
al-Rasyid, Muhamad Ahmad. 2007. Usul al-ifta’ wa al-ijtihad al-tatbiqi. Jil. Ke-4. Canada: Dar al-Mihrab.
al-Rasyid, Muhamad Ahmad. 1990. Risalah al-Ain.
al-Sowy, Solah. 2011. al-Ta’adudiyah al-siasiyah fi al-dawlah al-Islamiyah. Kaherah: Universidad Internacional de America Latina.
al-Syatibi, Abi Ishak. Tanpa tahun. Al-Muwafaqat fi usul al-Syariah. Beirut: Dar al-Makrifat.

Disediakan oleh:
Abdullah Zaik Abd. Rahman
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia
abdullahzaik@gmail.com

(Kertas kerja ini dibentangkan dalam Seminar “Dilema Politik Umat Islam di Malaysia: Memahami realiti dan cabaran semasa” pada 26-27 Jun 2012, anjuran IKIM di Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur.)

Categories: Uncategorized

Siyasah Syar‘iyyah & Tahalluf Siyasiyy Di Malaysia: Satu Analisis Kritikal (Siri 1)

Januari 13, 2012 Tinggalkan komen

Siyasah Syar‘iyyah Dan Tahalluf Siyasiyy Di Kalangan Parti Politik Ummat Islam Malaysia: Satu Analisis Kritikal

Pendahuluan

Struktur politik Malaysia kini terbahagi kepada dua kelompok besar, iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR). Kesan daripada itu umat Islam terbahagi kepada dua kelompok besar yang masing-masing tidak ada nokhtah persamaan dan dalam masa yang sama bukti-bukti menunjukkan bahawa pihak non muslim bersatu dalam hal berkaitan dengan kepentingan mereka.  Di sana wujud peranan anasir luar yang juga ingin memastikan masa depan negara menjurus ke arah kepentingan mereka. Dibimbangi tahaluf ini tidak membawa apa-apa faedah dan keuntungan kepada kepentingan umat Islam keseluruhan.

Konsep Siyasah Syar’iyyah

Secara umumnya manusia adalah makhluk yang hidup bermasyarakat secara semula jadi. Kepimpinan politik adalah satu yang dhoruri dalam apa sistem sekali pun, demi menjaga kestabilan, keamanan dan kelangsungan hidup manusia di atas muka bumi. Ini kerana secara semula jadinya, manusia suka bercakaran antara satu sama lain.  Orang yang kuat akan menindas orang yang lemah dan begitulah seterusnya.

Siasah dalam Islam terbina atas tujuan yang sama iaitu untuk menjaga kemaslahatan hidup manusia, cuma yang membezakannya ialah peraturannya itu mengikut syariat. Ada pemerintahan yang diatur secara tabe’i dan ada yang berpandukan manhaj ilmu. Manakala yang berpandukan syarak dinamakan siyasah syar’iyyah.

Ibnu Khaldun (t.t 190) berpendapat, untuk memastikan kehidupan manusia terkawal ia hendaklah merujuk kepada undang-undang politik yang dipaksakan untuk diterima oleh semua orang, mereka hendaklah akur dengan hukumnya sepertimana berlaku kepada negara Parsi dan umat yang lain. Jika diandaikan negara tanpa siyasah seperti ini, ia akan menjadi kucar-kacir dan tidak boleh dikawal, seperti sunnah Allah pada orang yang terdahulu. Jika undang-undang ini dipaksakan oleh pemikir-pemikir dan pembesar-pembesar negara, ia dinamakan siyasah ‘aqliyyah dan jika ia dipaksakan daripada Allah dengan syariat yang diturunkan olehNya maka ia dinamakan siyasah diniyah (agama) untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Definisi Siyasah Syariyyah

Terdapat beberapa definisi yang diberikan oleh ulama terhadap siyasah syariyyah;

Ibnu Khaldun berpendapat kerajaan (al-mulk) tabe’i (biasa) ialah menanggung semua manusia mengikut kehendak tujuan dan shahwat, dan kerajaan siyasi (politik) menanggung semua manusia mengikut kehendak pandangan akal dalam membawa kemaslahatan dunia dan menolak kemudharatan. Oleh sebab itu, khilafah ialah menanggung semua manusia mengikut kehendak pandangan syarak untuk mendatangkan kemaslahatan akhirat dan dunia yang kembali kepadanya. Pada hakikatnya khilafah ialah menggantikan sahibul al-syariah (Rasulullah s.a.w) dalam mengawal agama dan menyusun urusan dunia dengannya.

Imam Haramain pula berpendapat imamah sebagai ri’asah yang sempurna, za’amah yang menyeluruh merangkumi tanggungjawab khusus dan juga umum dalam urusan agama dan dunia. Kandungannya ialah menjaga sempadan dan mengurus rakyat, menegakkan dakwah dengan hujjah dan pedang, menghalang penyelewengan dan kezaliman, membela orang yang dizalimi daripada orang yang zalim, mendapatkan hak-hak daripada mereka yang enggan dan menunaikannya kepada orang yang berhak. Apa yang dituntut oleh syariat daripada makhluk  ialah berpegang dengan agama, takwa, berpaut dengan amalan yang menghampirkan diri kepada Allah, berkerja keras untuk mencari redha Allah, bercukupan dengan dunia, mengelak dari ajakan hawa dan menghindarkan diri dari jalan dosa. Namun begitu Allah mencipta manusia dengan sifat semula jadi yang berkeinginan dan bersyahwat. Menurut Imam al-Haramain lagi, terjadi hubungan antara agama dan dunia seakan-akan tonggak dan sistem yang menjadi jalan membawa kepada penghasilan maqasid syarak dan peribadatan yang menyeluruh yang mengungkap tentang maqasid kulliyyah mengikut aspek syariat, kandungannya menyeru kepada kemuliaan akhlak dan menegah daripada kekejian.

Menurut al-Haramain, kebanyakan manusia tidak pernah terhalang dari terjerumus ke lembah hawa nafsu dengan semata-mata janji syurga atau neraka, dorongan dan ancaman, lalu Allah s.w.t memberi mandat kepada sultan dan pemimpin untuk menghalang, supaya hak-hak dapat dipenuhi, habuan disampaikan kepada empunyanya, menegah orang yang menceroboh, menyokong orang yang adil, mengukuhkan binaan rasional, menghapus segala bentuk pelampauan dan kerosakan, lalu teraturlah urusan dunia dan dengan itu tercapailah maksud agama.

Imam al-Ghazali dalam menjelaskan hubungan antara agama dan politik, berpendapat ungkapannya yang mashyur: al-diin ussun wa al-sultanu harisun.ma la ussa lahu famahdumun wa ma la harisa lahu fa dha’ik.

Saya bawakan ulasan ini supaya kita dapat menyelami maksud siyasah syariyyah bukan sekadar daripada takrif-takrif yang kering sahaja. Jelas kepada kita daripada pandangan-pandangan tadi tujuan daripadasiyasah syariyyah itu dari segi maksud dan cakupannya yang amat luas.

Kesimpulannya, tujuan daripada siaysah syariyya hialah mengekalkan qawa’ed (asas-asas) Islam secara sukarela atau paksa. Jadi maksud adalah agama tetapi penerusannya bergantung kepada dunia.

Tasarruful imam manutun bil al-maslahah (Tindak tanduk pemerintah terikat dengan maslahah)

Kaedah ini telah kemukakan oleh Imam al-Syafe’i yang berpendapat, kedudukan imam nisbah kepada rakyat seperti wali kepada anak yatim. Dalilnya kata-kata Saidina Umar daripada al- Barra’ bin Azib katanya: “Aku meletakkan diriku dalam menguruskan anak yatim seperti wali anak yatim. Kalau aku berhajat aku ambil daripadanya, bila aku dah senang aku kembalikan dan kalau aku dah cukup aku berpada daripadanya”.

Seorang imam atau pemimpin Islam harus mengetahui kaedah ijtihad bagaimana mengeluarkan hukum daripada nas al-Quran, hadis, umum-khusus, mutlak-muqayyad, qat’i-zanni, ijmak , kias, istihsan, masoleh mursalah, nasikh mansukh, taufik dan ta’arudh.

Tidak mungkin seorang yang tidak tahu kaedah-kaedah hukum tersebut dengan sewenang-wenangnya mahu mengeluarkan ijtihad berdasarkan kaedah maslahah atau juga bercakap tentang maqasid syarak. Ijtihad adalah satu disiplin yang mesti dipatuhi dengan teliti kerana hukum  adalah kalam nafsi azali yang hanya diketahui melalui imarat atau dalil- dalil.

Ijtihad maslahi adalah satu kaedah penting dalam siyasah syariyyah. Ini kerana apa yang disebut dalam istilah fuqaha’ nas yang terhad sedangkan peristiwa sentiasa berubah-ubah. Memahami kaedah ijtihad maslahah amat penting supaya pemerintah boleh keluarkan hukum sesuai dengan kehendak syarak bagi menangani kes-kes baru dan berubah-ubah. Kita pernah dengar istilah taghayyurul ahkam bi taghayyuru zzuruf. Ini bukan bermakna pengeluaran hukum dikesani oleh faktor suasana seperti difahami oleh sesetengah orang, tetapi pada hakikatnya pemerintah/mujtahid berpindah dari satu usul ke satu usul yang lain apabila berlaku perubahan pada kes.

Bagi menjelaskan lagi konsep maslahah ini, saya akan menerangkan perbezaan antara beberapa istilah seperti umum, kias, dan maslahah. Ketiga-tiga kaedah ini sebenarnya instrumen yang digunakan oleh ulama untuk mengumumkan atau menjelaskan bagaimana berlaku ta’diah hukum dari kes asas kepada kes-kes yang baru.

Al-Umum adalah kaedah ta’diah menggunakan lafaz. Maksudnya apabila sesuatu nas itu menggunakan lafaz yang umum maka ta’luk hukum kepada semua orang yang sama sifatnya. Contohnya lafaz innama al mukminun ikhwah (sesunguhnya orang mukmin itu bersaudara), maka persaudaraan itu menjadi ikatan hubungan antara semua orang yang beriman tidak kira bila masa dan di mana jua mereka berada, bukan berkenaan dengan orang yang berada pada zaman turun ayat sahaja atau pada mereka yang menjadi sebab turun ayatnya sahaja.

Ada sesetengah kes tidak terangkum dalam umum lafaz tetapi ia boleh dita’diah melalui illah atau sebab hukum. Sebagai contoh kias beras ke atas gandum. Hadis hanya menaskan hukum  riba ke atas gandum. Lafaz gandum tidak meliputi beras secara makna tetapi melalui jalan illat/sebab itu dari segi makanan asas. Jadi lafaz gandum yang disebut oleh hadis merangkumi kalimah beras secara illat. Seperti juga lafaz “uff” dalam ayat “la taqullahuma uff” merangkumi lafaz al-dharb (pukul) secara illah iaitu menyakiti. Larangan berkata uff dalam ayat tersebut kerana perkataan uff boleh menyakiti ibu bapa, apatah lagi memukul, tentu ia lebih menyakiti.

Selain daripada illat, satu perkara lagi yang juga boleh mengumumkan/ta’diah hukum dari satu kes ke kes yang lain yang seumpamanya ialah al-munasabah atau sering disebutkan hari ini sebagai maslahah (masoleh mursalah). Saya telah sebutkan konsep maslahah dan kategori maslahat yang telah dikeluarkan oleh ulama melalui cara istiqra’ iaitu penyelidikan yang menyeluruh. Antara maslahah ialah memelihara agama. Atas asas itu Saidina Umar memerintahkan agar mengumpulkan al-mushaf dan menulis hadis dan lain-lain. Begitu jugalah, atas asas yang sama Jabatan Agama Islam Malaysia menyenaraikan kalimah-kalimah yang tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam seperti Allah, Kaabah dan sebagainya, di mana ia termasuk dalam maslahah menjaga agama.

Konsep maslahah dan pembahagiannya

Hukum syarak tertegak atas dua asas sama ada mendatangkan manfaat (maslahah) atau menghindari kemudhoratan atau mafsadah.

Menurut al-Ghazali (1413: 287), mendatangkan manfaat dan menghindari mudhorat adalah tujuan atau maksud seluruh makhluk, kesejahteraan hidup mereka pada menghasilkan maksud tersebut. Namun apa yang kita maksudkan dengan maslahah ialah memelihara maksud syarak. Manakala memelihara maksud syarak untuk makhluk ada lima perkara; iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Jadi segala yang mengandungi unsur menjaga lima usul ini dianggap maslahah dan segala yang merosakkan lima perkara ini dinamakan mafsadah, manakala menghindarinya dianggap maslahah.

Perlu difahami bahawa syariat seluruhnya datang untuk mentahkik maslahah hidup manusia di dunia dan akhirat. Ini bermakna bahawa seorang yang ingin melakukan ijtihad maslahi harus mengkaji nas-nas syarak supaya mereka dapat memahami apa itu maslahah di sisi syarak. Kita tidak boleh menyandarkan (iktimad) maslahah secara sendiri mengikut akal kita semata-mata. Dalam hal ini, ada maslahah yang dianggap muktabarah (disahkan) oleh syarak dan ada maslahah yang dibatalkan (dihapuskan). Kebanyakan maslahah telah dinaskan oleh syarak, yang kadang-kadang berlaku percanggahan antara maslahah pada zahir yang perlu ijtihad dari mujtahid. Ada satu jenis maslahah yang mungkin tidak ada nas secara langsung tetapi ia terkandung dalam jenis maslahah yang dinaskan secara umum (jenis). Maslahah ini dinamakan ‘masolih mursalah’.

Saya telah sebutkan bahawa maslahah syar’iyyah telah dinaskan dan ulama telah mengenalpasti dari nas-nas wahyu terdapat tiga kategori maslahah iaitu:

1- Dhoruriyyat
2- Hajiat
3- Tahsiniyyat

Boleh dikatakan keseluruhan hukum syarak boleh dikategorikan kepada tiga kategori di atas. Perlu diingatkan sekali lagi bahawa ijtihad maslahi bukan suatu yang terlepas bebas daripada nas terpulanglah kepada mujtahid untuk mengeluarkan pendapat atas nama maslahah.

Kategori maslahah [i]

Maslahah dhoruriyyah ialah yang paling mustahak/asas yang mana tidak tercapai maslahah-maslahah tersebut kecuali dengan adanya ia. Contohnya menjaga nyawa ialah memelihara hidup, memelihara anggota dan segala yang tidak mungkin berlaku kelangsungan hidup kecuali dengannya dan begitulah seterusnya.

Maslahah hajjiyyat pula bukan bertujuan untuk menjaga usul yang lima, sebaliknya bermaksud menolak kesukaran, mengangkat kesempitan  atau mengawasi lima usul tersebut. Seperti tegahan penjualan arak, haram melihat aurat wanita dan sebagainya.

Maslahah tahsiniyyat atau kamaliyyat pula lebih rendah, ia tidak menjaga asal maslahah yang lima, tidak juga bertujuan untuk pewaspadaan tetapi untuk mengangkat kehebatan, memelihara kemuliaan seperti merendahkan pandangan dan sebagainya.

Jelas dari keterangan tersebut bahawa maslahah berbagai-bagai kategori, jika berlaku percanggahan secara mudah yang dhoruri diutamakan kemudian hajjiyat dan tahsinat. Perbahasannya panjang dalam kitab Usul Fikh.

Muwazanah (menimbang) antara maslahah

Kadang-kadang berlaku percanggahan antara dua maslahah atau juga antara maslahah dan mudhorat yang menuntut ijtihad dari pemerintah. Ia adalah satu medan yang sangat luas kerana tiada perkara yang semuanya maslahah kecuali iman dan tiada perkara yang semuanya mudhorat kecuali kufur. Selain dari itu semuanya ada maslahah dan ada mudhorat. Kita sering dengar kaedah dar’ mafasid muqadamun ala jalbu al-masoleh (menghalang mudhorat lebih utama dari mendatangkan maslahah). Ulama sering menggunakan contoh jika berlaku peperangan dan pihak musuh menggunakan tawanan Islam sebagai perisai, adakah harus bagi tentera Islam membunuh perisai tersebut?

Isu tahaluf siasi yangakan kita bincangkan nanti boleh diteliti melalui kaedah ini.

Menurut Izzudin Abd. Salam (74), apabila berkumpul maslahah dan mafsadah, jika menghasilkan maslahah dan menghalang mafsadah boleh dilakukan, kita kena lakukan demikian kerana arahan Allah dalam firmanNya yang bermaksud; “Dan bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu beruntung.” Jika tidak dapat menghalang mafsadah dan menghasilkan maslahah sekaligus, kita hendaklah melihat, jika mafsadah lebih besar dari maslahah, kita tolak mafsadah dan kita tidak mengambil kira kemaslahatan yang terabai. Firman Allah Taala yang bermaksud; “Mereka bertanya tentang arak dan judi, katakanlah padanya ada dosa yang banyak dan manfaat bagi manusia, sedangkan dosanya lebih besar dari manfaat keduanya”.


[i] “Taklif syarak merujuk kepada menjaga (al-hifzu) maksudnya pada penciptaan. Maqasid ini terbahagi kepada tiga tidak lebih dari itu: pertama dhoruriyyat, kedua hajiyyat, ketiga tahsiniyyat”.

“Adapun dhoruriyyat maknanya sesuatu yang tidak boleh tidak dalam menegakkan kemaslahatan agama dan juga dunia, sekira-kira jika diandaikan tiada, tidak boleh jalan segala maslahah dunia secara istiqamah (konsisten), bahkan akan merosak, menyukarkan dan terhenti kehidupan dan di akhirat tidak mendapat kejayaan dan nikmat serta kembali kepada kerugian yang nyata”.

“Perkataan menjaga (al hifzu) berlaku dengan dua aspek: pertama; perkara yang menegakkan rukun dan asasnya yakni menjaga dari aspek mengadakan (wujud) dan kedua; perkara yang menghalang kerencatan/kecacatan yang sedang berlaku atau akan berlaku dengan menjaga dari aspek mentiadakan”.

“Usul ibadat yang merujuk kepada menjaga agama dari mengadakan seperti iman, mengucap syahadah, solat, zakat, puasa dan haji dan seumpamanya. Dari sudut adat merujuk kepada menjaga nyawa/jiwa dan akal dari aspek pengwujudan seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan seumpamanya. Dan muamalat merujuk kepada aspek menjaga keturunan dan harta dari aspek pengwujudan dan merujuk kepada menjaga nyawa dan akal juga tetapi dari melalui jalan adat. Jinayat termasuk amar makruf nahi mungkar merujuk kepada menjaga semua dari aspek pentiadaan”.

“Manakala muamalat perkara yang merujuk kepada masalah manusia dalam hubungan sesame mereka seperti pindah milik dengan tukaran atau tanpa tuaran, akad kontrak terhadap riqab (hamba), manfaat dan juga kemaluan (al abdho”). Adapun Jenayah adalah perkara yang membatalkan perkara terdahulu disebutkan, disyariatkan hukum yang menghalang pembatalan atau merosakkan maslahah-maslahah tersebut seperti qisas dan diyat untuk  jiwa dan had untuk akal serta ganti rugi nilai harta bagi keturunan, dan potong dan ganti bagi harta dan seumpamanya”.

(Al Muwafaqat, juzuk 2, m/s 10)

 

Categories: Uncategorized

Mahmud Abbas ke PBB tidak menguntungkan Palestin

September 20, 2011 Tinggalkan komen

Tindakan Presiden Mahmud Abbas memohon keanggotaan penuh negara Palestin di PBB akan membawa kerugian kepada rakyat Palestin sendiri.

Tindakan bersendirian Abbas akan mengakibatkan Palestin akan kehilangan 78% daripada buminya yang dijajah oleh Israel, hak kembali jutaan rakyat Palestin yang menjadi pelarian di seluruh dunia akan dinafikan di samping kedaulatan sebenar yang bakal diperolehi rakyat Palestin hasil daripada pengiktirafan yang diharapkan tidak terjamin.

Mahmud Abbas sebelum ini kecewa apabila rundingan damai dengan Israel tergendala, apabila Israel gagal memenuhi tuntutan beliau agar menghentikan pembinaan penempatan haram di tanah milik rakyat Palestin. Dalam masa yang sama rundingan Palestin-Palestin (Fatah-Hamas) juga tergendala apabila Amerika ingin melantik Salam Fayadh sebagai Perdana Menteri yang ditolak oleh HAMAS.

Dalam keghairahan Mahmud Abbas untuk ke PBB banyak pihak menjangkakan langkah beliau tidak akan ke penghujung. Untuk memohon keahlian PBB negara yang memohon hendaklah terlebih dahulu mengemukan permohonan bertulis kepada SUA PBB Ban Ki Mon. Permohonan tersebut hendaklah mendapat sokongan 9 negara anggota majlis keselamatan daripada 15 keseluruhan dan permohonan itu hendaklah tidak diveto oleh mana-mana kuasa besar dalam majlis keselamatan. Secara teknikal perkara ini amat sukar berlaku kerana selain veto Amerika, terdapat lobi Israel yang kuat sedang rancak bergerak untuk menghalang Mahmud ke PBB.

Betul secara umum jika diandaikan Mahmud berjaya ke PBB dan Palestin diiktiraf sebagai negara anggota PBB, akan menyebabkan ketidak selesaan kepada Amerika dan Eropah dari sudut moral dan politik, tetapi implikasi di bumi nyata tidak semestinya menguntungkan rakyat Palestin.

Categories: Uncategorized

Kristianisasi: kebebasan bersuara atau penjajahan?

Isu pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) oleh JAIS baru-baru ini telah mengundang perbincangan di media massa dan menimbulkan pelbagai pendapat yang bercanggah antara satu dengan yang lain. Ada yang melihat dari aspek hak asasi dan kebebasan bersuara dan ada yang melihat dari segi ancaman akidah dan keselamatan berdasarkan agama dan perlembagaan Malaysia.

Hasil siasatan JAIS menjadi bukti yang jelas bahawa kegusaran umat Islam selama ini terhadap aktiviti Kristianisasi bukan lagi menjadi perkara yang tersembunyi.

Isu ini menjadi sensitif bagi umat Islam bukan sahaja kerana kerosakan akidah yang berlaku di kalangan masyarakat orang Islam – orang Islam yang hanya tinggal pada nama sahaja – tetapi lebih penting daripada itu, kita perlu memahami bahawa usaha tersusun pihak bukan Islam yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

Murtad berbahaya dan Kristianisasi juga berbahaya kerana ia merupakan kesinambungan daripada serangan peperangan salib ke atas umat Islam secara halus.

Semua kita tahu bahawa usia Kristianisasi di Malaysia sudah lama bermula sejak awal era penjajahan pada tahun 1511M di mana askar-askar Portugis datang dengan membawa paderi-paderi yang ingin menyebarkan Kristian di tanah air kita.

Menyingkap sejarah moden kita menemui nama-nama seperti Natrah, Noraisyah Bukhari, Jamaluddin Othman dan Lina Joy yang telah menggegarkan sensiviti umat Islam.

Kita percaya bahawa ini adalah hasil dan natijah dan di belakangnya tentu ada perancangan yang tersusun rapi untuk mengkristiankan dan mengeksploitasi kebebasan beragama di dalam perlembagaan dan di atas nama hak asasi manusia.

Tanpa kita sedari sebenarnya mereka menggunakan peruntukan perlembagaan dan hak asasi manusia untuk mencucuk jarum permusuhan dan merosakkan akidah umat Islam.

Perkara yang paling penting perlu difahami ialah isu yang berlaku di DUMC itu tidak berkaitan dengan soal hak kebebasan beragama atau hak asasi manusia, bahkan ia adalah usaha ‘tabsyir’ (Kristianisasi) yang merupakan sebuah agenda penjajahan dalam bentuk moden.

Terdapat dua tujuan utama gerakan Kristianisasi. Pertama, memasukkan orang Islam ke dalam agama Kristian. Kedua, menjauhkan orang Islam daripada agama Islam.

Akan tetapi, Samuel Zwemer semasa Persidangan Kristian di Quds pada tahun 1935 M berkata:
“….. tugas mubaligh Kristian di negara-negara lslam yang telah ditaja oleh negara-negara Kristian bukanlah berusaha untuk mengkristiankan umat lslam, kerana mereka sedar orang Islam memegang pendirian bahawa agama Islam merupakan suatu petunjuk dan penghormatan bagi mereka. Tetapi tugas kalian yang terpenting ialah memurtadkan orang lslam keluar dari agama mereka agar menjadi orang yang sama sekali tidak mempunyai hubungan dengan Allah kemudian tidak mempunyai hubungan dengan moral yang telah menjadi landasan hidup seluruh bangsa.”

Dengan ini, matlamat utama Kristianisasi tidak semestinya untuk memasukkan orang Islam ke dalam agama Kristian tetapi cukup dengan mengeluarkan orang Islam daripada agamanya.

Berdasarkan kajian-kajian ilmiah yang sudah dibuat, usaha Kristianisasi ini bersifat global dan telah bermula sejak lama dahulu.

Di dalam Persidangan Colorado pada tahun 1978 M yang dihadiri 150 orang peserta di kalangan para mubaligh Kristian, mereka telah mengeluarkan satu resolusi yang agresif iaitu mereka bercita-cita untuk mengkristiankan 720 juta orang Islam seluruh dunia.

Pelbagai wasilah digunakan antaranya pendidikan, penyiaran, aktiviti kemasyarakatan dan kesihatan. Beratus buah sekolah didirikan, pelbagai akhbar diterbitkan dan banyak aktiviti kemasyarakatan dijalankan dalam menjayakan matlamat mereka.

Usaha serius mereka dalam mencapai objektif dilihat dalam perbelanjaan yang digunakan setiap tahun. Berdasarkan rekod yang ada, pada tahun 1990, sebanyak USD 164 juta telah dibelanjakan. Pada tahun 1992 pula, sebanyak USD 181 juta dibelanjakan. Terdapat peningkatan sebanyak USD 17 ribu dalam tempoh 2 tahun yang menggambarkan kegigihan mereka.

Di seluruh dunia kini terdapat lebih daripada 270 ribu pendakwah yang bekerja sepenuh masa untuk gerakan ini. Lebih 22 ribu buah buku telah diterbitkan dan lebih 98 ribu buah pusat pendidikan telah didirikan. Usaha ini diperhebatkan lagi dengan tertubuhnya lebih 24 ribu pertubuhan-pertubuhan rasmi yang menjalankan usaha Kristianisasi di balik tabir.

Usaha mereka telah memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada umat Islam di negara kita.

Merujuk kepada kajian yang dijalankan bagi tahun 1994 hingga Mei 1997, mendapati bahawa sebanyak 60 hingga 210 permohonan bagi pertukaran nama telah dihantar ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Daripada jumlah tersebut, sebanyak 519 permohonan bertukar nama atas alasan ingin keluar dari Islam atau murtad. Walau bagaimanapun 48% sahaja yang diluluskan oleh JPN manakala 52% lagi telah ditolak atau ditarik balik oleh pemohon.

Sebelum ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dilaporkan membuat pendedahan mengejutkan mengenai kenyataan Persatuan Paderi Malaysia yang mendakwa bahawa lebih 230,000 umat Islam memeluk Kristian pada 2008.

Pada hari ini, gerakan Kristianisasi berselindung di sebalik alasan kebebasan beragama. Sebenarnya tindakan mereka terang-terangan telah melanggar peruntukan perlembagaan di dalam Perkara 11 (4) yang tidak membenarkan sebarang aktiviti mengajak orang Islam keluar daripada agama itu.

Di dalam perlembagaan tercatat bahawa setiap orang mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan ajaran agama masing-masing tetapi undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara penganut Islam.

Ini bermakna wujud larangan penyebaran agama selain Islam terhadap penganut agama Islam.

14 tuntutan IFC dijadikan sebagai bukti bahawa tuntutan kebebasan beragama digunakan secara salah untuk mengelirukan umat Islam dan mengeluarkan umat Islam daripada agama mereka.

Sebagai contoh, mereka menuntut supaya orang bukan Islam yang memeluk agama Islam dibenarkan kembali kepada agama asal mereka (murtad) tanpa diambil sebarang tindakan.

Akhir sekali, agenda Kristianisasi yang telah mengakibatkan ratusan manusia Muslim menjadi murtad perlu dilihat sebagai agenda penjajahan yang boleh mengancam keselamatan negara.

Jadi pihak kepimpinan Islam perlu menangani perkara ini daripada perspektif yang betul. Ia bukan soal kebebasan beragama tetapi merupakan agenda antarabangsa yang bersifat penjajahan.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya umat Islam, para pemimpin Islam dan badan-badan Islam perlu peka kepada hakikat sebenar apa yang berlaku di sebalik kegiatan gereja Methodist.

Categories: Uncategorized

Lihat politik dalam kepentingan ummah

HARI ini umat Islam di Malaysia khususnya Melayu telah terbahagi tiga, Pas, Umno dan PKR. Selain itu juga menghadapi banyak masalah dan cabaran khususnya tentang agenda fahaman liberalisme yang kini semakin berleluasa di Malaysia melalui proses globalisasi. WakiilSiasahKALSUM AHMAD menemubicara Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman. Ikuti apa pandangan beliau:

SIASAH: Sebagai NGO Islam, apa peranan ISMA dalam membantu membentuk masyarakat ke arah Islam syumul di Malaysia?

ABDULLAH ZAIK: Kita mengambil isu perpaduan um¬mah ini sebagai isu penting sebab ia masalah survival umat Islam di Malaysia. Ia ada hubungkait dengan masalah kita untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini dalam percaturan politik negeri atau luar negeri. Kita menghadapi cabaran yang banyak untuk menegakkan agama Islam di tempat yang lebih baik atau untuk membela maruah dan kehormatan umat Islam, untuk itu kita mesti mempunyai satu kekuatan.

Hari ini kekuatan itu rapuh dan tak wujud, oleh itu kita tidak boleh menyaingi atau tawar menawar bargain power kita lemah. Bila tawar menawar lemah, kita tidak boleh mengenengahkan atau mempertahankan apa yang kita mahu. Sedangkan cita-cita, matlamat dan agenda ummah Melayu mestilah berkehendakkan matlamat, kedudukan dan meletakkan agama Islam itu di tem¬pat yang tinggi.

Bagaimana mahu menegakkan semua itu kalau umat Islam tidak bersatu dalam satu agenda. Dalam hal ini Isma melihat persoalan ini lebih kepada isu semasa. Ia merupakan rentetan peristiwa atau timbunan pengalaman yang panjang akibat penjajahan, sejarah dan sebagainya hingga orang Melayu hilang identiti dan jati diri. Bila hilang semua ini, mereka sukar untuk mencari titik pertemuan. Mereka tidak boleh bersatu dan bersama dalam perkara-perkara yang dipersepakati bersama.

Dalam hal ini, langkah Isma adalah membangunkan semula tamadun ummah atau kehidupan Islam yang lebih syumul di atas asas sebagaimana Rasulullah membangunkan umat Islam yang pertama. Jadi fokus Isma yang pertama adalah mendidik umat dalam rangka mentarbiah mereka untuk bangunkan semula jati diri mereka kerana ummah yang memiliki jati diri sahaja yang mempunyai keperibadian yang mempunyai agenda. Dan ummah ini sahaja yang dapat bertarung di arena persaingan sengit yang sedang kita hadapi sama ada dalam negara atau luar negara.

Bagaimana pula hubung kaitnya dengan perpaduan Melayu?

Pada pandangan Isma, di Malaysia ini elemen perpaduan lebih banyak daripada elemen perpecahan. Di Malaysia ini bo¬leh dikatakan semua orang Islamnya adalah berfahaman sunnah waljamaah. Tak ada yang berfahaman Syiah atau puak kabilah dan tidak timbul masalah mazhab. Dalam banyak perkara, umat Islam di Malaysia ini adalah sama sebab berasal dari satu rumpun. Hanya satu sahaja masalah di Malaysia ini iaitu masalah perbezaan pendekatan politik di antara nasionalis dan Islamis. Ia dijadikan konflik atau konfrontasi di antara kita.

Pada pandangan Isma, konfrontasi di antara mafhum Islam dalam memperjuangkan agenda ummah dengan mafhum nasio¬nalis dalam memperjuangkan agenda bangsa kerana di Malaysia ini umat Islam dan orang Melayu adalah sama. Jadi kalau orang nasionalis itu ikhlas dengan niatnya tentulah ianya akan memperjuangkan benda yang sama, perjuangkan agama dia dan memperjuangkan nasib bangsa dia. Begitu juga dengan pejuang Islami akan lebih ikhlas dengan bangsa dan masa depan bangsa dia. Jadi konfrontasi perlu ditamatkan.

Bercakap tentang konfrontasi, bagaimana pandangan ustaz tentang cadangan untuk menyatukan Umno dan Pas tetapi masih ada halangan yang menyebabkan penyatuan itu tidak dapat dilakukan?

Pada pandangan saya, ini adalah masalah politikal kepartian di mana parti masing-masing ingin mengejar dan mempertah¬ankan kuasa. Pertikaian ini sudah terlalu lama hingga kita lupa untuk melihat isu ummah keseluruhan. Sepatutnya kalau kedua-dua parti melihat isu ummah keseluruhan, banyak perbezaan di antara kedua-dua itu boleh diatasi.

Kadang-kadang kita lupa bezakan dakyah politik dengan masalah sebenar, kadang-kadang isu ummah dilekakan dengan isu-isu politik. Apa masalah um¬mah tak ada yang berfikir. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku dan ianya perlu diatasi.

Dalam hal ini Isma mengambil pendekatan membawa generasi muda supaya celik politik, melihat politik dalam kacamata kepentingan ummah keseluruhan bukan dalam konteks percaturan politik. Namun dalam hal ini, kita boleh membantu mana-mana parti un¬tuk menang ataupun kalah tetapi adakah parti yang menang itu akan membawa kebaikan kepada keseluruhan ummah dan tidak mungkin juga akan menyebabkan maruah tergadai, negara dan agama tergadai. Contohnya seperti negara Iraq, menang sorak kampung tergadai.

Apa pandangan ustaz tentang kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi mengenai kuasa politik di tangan orang Melayu?

Pada pandangan kita, perkara ini perlu kita pertahankan atas nama apa sekalipun yang boleh kita sebut atau pun tidak tetapi hakikatnya kuasa mesti berada di tangan orang Melayu dan orang Melayu kekal menjadi tonggak kuasa di Malaysia adalah sesuatu yang perlu kita pertahankan. Ini merupakan sebahagian daripada asas perjuangan Islam. Sebab itu Isma mengangkat syiar Melayu sebagai Islam berdaulat. Isma melihat untuk mengekalkan survival Islam dan mengekalkan maruah dan martabat ummah agar terus dapat dipertahankan, tidak dicabar adalah dengan perpa¬duan orang Melayu. Melalui cara ini sahaja orang Melayu akan jadi kuat dan mantap.

Jadi apabila Presiden Pas kata tonggak kuasa di Malaysia mesti berada di tangan orang Melayu, sepatutnya Pas perlu beri tumpuan kepada orang Melayu dan bagi saya itu bukan Asabiah. Masalahnya kita terperangkap dalam Asabiah. Kalau Pas mahu menggantikan Umno dia kena ambil isu Melayu.

Apa pula pandangan ustaz, bila Pas menyertai Pakatan bersama dengan parti bukan Islam?

Pada pandangan saya setiap orang atau kumpulan ada ijtihadnya sendiri. Dia berhak melaksanakan dalam kerangka yang dia kehendaki. Dalam hal ini, Isma meli¬hat masalah itu adalah besar sebab ia membawa agenda li¬beral dalam masyarakat dan konteks negara kita Malaysia.

Sebelum Pas bersama Pakatan, isu utama yang menjadi per¬saingan adalah Islam. Sama ada Pas atau Umno, masing-masing mendakwa lebih Islam. Jadi, bila adanya persaingan, maka Islam akan menjadi kuat. Selepas pilihan raya ke-12, isu politik di Malaysia adalah siapa yang lebih demokratik dan siapa yang lebih liberal. Bila ada parti yang mendakwa siapa yang lebih liberal, ini menunjukkan kita berlumba-lumba menemui piawaian Amerika untuk dibawa ke Malaysia. Sebab itu kita lihat Datuk Seri Najib tanpa halangan terus melaksanakan agenda global, dan ianya tidak boleh disekat.

Jadi bila Pas menyertai PR, itu hak dia tetapi bagi Isma ianya tidak banyak menguntungkan umat Islam. Pandangan saya secara peribadi, apabila menyertai PR, seelok-eloknya kita kenalah pertahankan bahasa kita, lajnah, perjuangan dan semangat kita Islam. Sekiranya mereka benar-benar melaksanakannya saya hormati. Tetapi pada hari ini, kita nampak ianya menuju ke arah liberal dan tiada siapa yang boleh menghalang. Pengaruh liberal ini telah ditunggangi oleh musuh-musuh Islam iaitu barat. Mereka akan mengambil kesempatan kerana mer¬eka ada NGO tersendiri dan ini akan diambil kesempatan oleh parti-parti politik yang mempunyai ketamakan tersendiri untuk mengambil tempat akan situasi ini.

Parti ini bukan berjuang sangat untuk demokrasi tetapi menunggang hak arus demokrasi yang dibawa oleh global. Global pula membawa demokrasi dan hak kesamarataan se¬cara liberalisasi lalu ditunggang oleh mereka supaya me¬reka mendapat hak lebih. Contoh tentang kesefahaman antara agama, mereka mahu semua agama sama ada Buddha, Islam, Hindu atau sebagainya di kedudukan yang sama. Ini menunjuk¬kan maruah umat Islam makin hari makin rendah, Inilah bahayanya globalisasi. Ia berasaskan kepada humanisme, fahaman aktif yang menafikan agama. Seluruh kehidupan dipisahkan daripada agama.

Pas kata ia mampu ganti Umno, apa komen ustaz?

Pandangan saya sama juga dengan ahli-ahli akademik yang lain, Pas perlu banyak berubah tetapi tuntutan perubahan itu besar dan mungkin sukar dilakukan oleh Pas sendiri antaranya berkaitan dengan isu Melayu. Pas perlu ambil isu Melayu ke¬rana kalau kita mahu meningkatkan taraf ekonomi orang Islam, ini bermakna kita terpaksa meningkatkan ekonomi orang Mela¬yu. Tetapi ini tidak dilakukan kerana isu politik dengan Umno. Pas perlu melihat isu ini kerana ia perlu membuat perubahan tetapi sejauh mana Pas boleh buat perubahan.

Agenda Pas dengan Islam boleh membuka penyelesaian kepada permasalahan yang timbul sekarang. Pas kena kemukakan dalam bentuk yang lebih menyeluruh, besar dan lebih meluas.

Bukan sekadar hukum hudud atau pelaksanaan hukum jenayah. Kita mesti berusaha mencapai tonggak kuasa Islam yang boleh menjaga kehidupan manusia dalam pelbagai bidang. Jadi Pas perlu kepada satu rangka pemikiran yang konsisten.

Sumber: Akhbar Siasah, Bilangan 0246

Categories: Uncategorized

Perutusan Presiden ISMA sempena Ramadhan 1432H

Muslimin muslimat sekalian!

Bulan Ramadan berkunjung tiba dan bulan Syaaban pergi meninggalkan kita. Selaut kesyukuran dipanjatkan kepada Allah kerana telah memanjangkan umur kita terus berada di bulan yang mulia ini. Justeru saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan seantero dunia.

Kita menyambut Ramadan kerana ia adalah bulan yang dimuliakan oleh Allah dengan penurunan Al-Quran.

185. (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Menjadi sunnah Nabi-Nabi yang terdahulu apabila mendapat kurniaan yang besar mereka berpuasa. Puasa Ramadan adalah sebagai meraikan penurunan Al-Quran.
Ini menunjukkan betapa pentingnya petunjuk Al-Quran kepada manusia. Maka dengan itu kita memuliakan bulan Ramadan dengan berpuasa.

Al-Quran sebagai petunjuk

Petunjuk ialah tanda arah yang dapat menyelamatkan manusia daripada kesesatan.
Hidayah lawannya sesat.

108. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! telah datang kepada kamu kebenaran (Al-Quran) dari Tuhan kamu. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beriman kepadaNya), maka faedah hidayah petunjuk itu terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat (mengingkariNya) maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri dan Aku pula bukanlah menjadi wakil yang menguruskan soal (iman atau keingkaran) kamu”.

Hari ini manusia menyimpang jauh daripada hidayah Al-Quran, mereka menyeru dengan seruan ilhad dan kekufuran, mereka menyeru kepada kebebasan demokrasi, hak asasi, liberalisasi, pluralisme dan sebagainya. Dapatkah dengan seruan itu menyampaikan kita kepada Allah?

Neraca hidup sudah bertukar. Dulu orang akan ukur sesuatu berdasarkan Al-Quran, mana yang betul dengan Al-Quran disokong dan mana yang bercanggah dengan Al-Quran ditolak.

Pada hari ini, orang tidak lagi mengukur mengikut Al-Quran lagi, tetapi orang bertanya adakah ini bersesuaian dengan kebebasan demokrasi atau tidak, adakah ini bersesuaian dengan hak asasi atau tidak?

Oleh yang demikian, saya menyeru seluruh umat Islam agar kembali menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup sebagaimana yang ditunjukkan Rasulullah dan para sahabat.

Di antara amalan utama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW pada bulan Ramadan ialah tadarus Al-Quran. Baginda menghidupkan malam-malam Ramadan dengan tadarus Al-Quran bersama-sama Saidina Jibril.

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل فيدارسه القرآن. وفي نهاية الحديث قال: وذلك كل ليلة. رواه البخاري ومسلم

Adalah Rasulullah SAW sebaik-baik manusia, dan baginda menjadi lebih baik pada bulan Ramadan ketika datang kepadanya Jibril dan mereka bertadarus Al-Quran. Di akhir hadis perawi menyebut: Dan ia berlaku pada setiap malam. Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Allah memuliakan Ramadan dan meminta kita memuliakannya dengan berpuasa sehingga puasa Ramadan dijadikan salah satu rukun daripada rukun-rukun Islam.

Kalau kita mencari hikmah berpuasa, kita mungkin tidak menemui hikmah yang paling munasabah, selari untuk memuliakan bulan Ramadan. Jadi, Ramadan adalah bulan agung. Mari kita mulakannya dengan bersungguh-sungguh seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW memberi berita gembira kepada para sahabat dengan kedatangan bulan Ramadan yang dinanti-nantikan.

قد جاءكم رمضان شهر مبارك كتب الله عليكم صيامه ، فيه تفتح أبواب الجنان وتغلق أبواب الجحيم وتغل فيه الشياطين ، فيه ليلة خير من ألف شهر، من حرم خيرها فقد حرم. رواه أحمد في مسنده

Telah datang kepadamu Ramadan, bulan yang mulia. Allah mewajibkan ke atas kamu berpuasa. Di bulan itu, dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan diikat syaitan-syaitan. Di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barang siapa yang diharamkan kebaikannya, maka dia tidak akan beroleh (kebaikan itu). Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya.

Menurut Ibnu Qudamah di dalam kitabnya Minhajul Qasidin puasa terbahagi kepada 3 peringkat:

1. Puasa umum: iaitu menahan batin dan kemaluan daripada melepaskan syahwat.
2. Puasa khusus: iaitu menahan seluruh anggota badan daripada melakukan dosa.
3. Puasa khusus yang lebih tinggi: iaitu menahan hati daripada kerosakan, menjaga fikiran daripada perkara yang menjauhkan diri daripada Allah sehingga hati menjadi fokus kepada Allah semata-mata.

Puasa mana yang yang ingin kita persembahkan kepada Allah?

عن أبي هريرة قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم من لم يدع قول الزور والعمل به والجهل فليس لله حاجة أن يدع طعامه وشرابه. رواه البخاري

“Barang siapa (yang berpuasa) dan tidak meninggalkan kata-kata dusta, dan beramal dengannya, (dan tidak meninggalkan) kejahilan, maka Allah tidak berhajat kepada puasanya.” Hadis riwayat Al-Bukhari.

عن أبي هريرة قال رسول الله صلى الله عليه وسلم كل عمل ابن آدم له إلا الصيام فإنه لي وأنا أجزى به. رواة البخاري

“Setiap amalan anak Adam adalah untuknya kecuali puasa, kerana puasa itu untuk-Ku, dan Aku yang memberi ganjarannya.” Hadis riwayat Al-Bukhari.

عن أبي هريرة قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه. رواه البخاري ومسلم

“ Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan baginya dosa yang telah lalu.” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Antara tanda kemuliaan bulan Ramadan yang dikurniakan oleh Allah ialah:
– Solat Tarawih dan Qiyamullail
– Sedekah
– Amal-amal kebajikan
– Umrah dan iktikaf

Segala amalan yang dilakukan di dalam bulan Ramadan akan digandakan sehingga 700 kali ganda.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , قَالَ: كُلُّ حَسَنَةٍ يَعْمَلُهَا ابْنُ آدَمَ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ، وقال تعالى: إِلا الصِّيَامُ، هُوَ لِي، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ. رواه الطبراني

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap amalan yang dilakukan oleh anak Adam digandakan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda,” kemudian Allah berfirman, “Kecuali puasa kerana puasa khas buatKu dan Aku sendiri yang akan memberi ganjaran orang yang berpuasa.” Hadis riwayat At-Tabrani.

Marilah sama-sama kita mengambil pengajaran kisah-kisah salafus soleh yang benar-benar merebut peluang beribadah di bulan ini dengan bersungguh-sungguh.

Saidina Umar telah menyuruh Ubai bin Ka’ab dan Tamim Ad-Dari untuk menjadi imam qiyamullail. Mereka membaca surah yang panjangnya 100 ayat pada setiap rakaat sehinggakan ada mengambil tongkat kerana berdiri dalam tempoh yang panjang.

Para sahabat turut mencontohi Rasulullah dalam memperbanyakkan tilawah Al-Quran khususnya di bulan Ramadan. Ada sahabat yang mengkhatamkan bacaan sekali sebulan, sekali seminggu dan ada yang mengkhatamkannya sekali dalam masa 3 hari.

Akhir sekali saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak umat Islam sekalian khususnya ahli-ahli ISMA agar sama-sama kita memuliakan bulan Ramadan dengan memperelokkan ibadah puasa, memperbanyakkan amal soleh, bermujahadah mengenali diri dan berusaha membuang sifat-sifat mazmumah di dalam diri.

183. Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana yang diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Sekian, terima kasih. Selamat menyambut Ramadhan.

Categories: Uncategorized

Negara Berkebajikan PAS lebih ‘soleh’

UNTUK memberi kefahaman kepada bukan Islam terhadap PAS, PAS dalam Muktamar ke-57nya baru-baru ini telah menukar slogannya daripada negara Islam kepada ‘Negara Berkebajikan’. Ekoran daripada itu banyaklah pandangan dan komen daripada pelbagai pihak khususnya UMNO yang mempertikaikan tentang pendirian PAS tersebut. Jawapan Timbalan Musyidul Am PAS, Datuk Haron Din telah menyatakan bahawa Negara Berkebajikan PAS adalah jauh berbeza daripada UMNO. la berlandaskan kepada al-Quran, negara yang mendapat kebajikan di bawah keampunan Allah bukan berdasarkan kepada rasional akal yang dibuat mengikut hati sebagaimana BN. Bagaimana pandangan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdul­lah Zaik Abdul Rahman terhadap jawapan PAS tersebut. Bagi mengetahui jawapannya, ikuti bualbicara wartawan akhbar Siasah KALSUM AHMAD bersama beliau menerusi telefon.

Siasah: Apa komen ustaz tentang Negara Berkebajikan yang diimpikan oleh PAS dengan Neg­ara Kebajikan yang dikatakan oleh BN?

USTAZ ABDULLAH ZAIK: Dalam hal ini saya tidak boleh beri pandangan khusus kerana PAS sendiri belum lagi keluarkan buku hijau tentang takrif sebenar tentang Negara Berkebajikan ini. Yang ada sekarang hanyalah melalui ucapan dasar sewaktu muktamar ke-57 baru-baru ini serta apa yang bo­leh saya lihat di negeri-negeri di bawah pentadbiran Pas.

Dalam hal ini apa yang boleh saya berikan pandangan, PAS dilihat lebih ‘soleh’ berbanding UMNO. Soleh di sini pada pandangan saya adalah lebih baik, lebih amanah, kurang penyelewengan baik dari segi dasar ataupun peribadi para pemimpinnya.

Saya tidak kata semua pemimpinnya ama­nah tetapi kalau dilihat di negeri-negeri di bawah pentadbirannya penyelewengan dari segi pentadbiran atau rasuah adalah lebih rendah.

Bagaimana pula pandangan Ustaz ten­tang istilah kebajikan?

Istilah ini biasa dalam politik. Kebajikan sudah lama dibincangkan oleh sistem kapitalis dan sosialis sejak abad ke-19 lagi. Kebajikan telah menjadi pengimbang di antara kedua-dua sistem.

Dalam sejarah, sistem kapitalis mementingkan kebajikan kerana untuk mengelak rungutan daripada pihak pekerja buruh. Sosialis pula menjadikan kebajikan sebagai dasar peijuangan mereka membela nasib pekerja yang ditindas majikan.

Dalam persaingan ini, dilihat tiada beza kebajikan yang diperjuangkan mereka. Semua pihak cuba memenuhi tuntutan kebajikan tetapi mungkin ada perbezaan dari segi pelaksanaan yang berdasarkan kepada kredibiliti dan kejujuran pemimpin.

Golongan pemerintah perlu memberi keba­jikan dan memenuhi kehendak rakyat jika mahu terus dipilih sebagai pemerintah.

Menurut Datuk Haron Din, Negara berkebajikan yang dikehendaki oleh Pas adalah berlandaskan kepada al-Quran dan bukan berdasarkan kepada rasional akal, yang dibuat mengikut hati. Pendek kata ne­gara yang mendapat kebaji­kan di bawah keampunan Allah?

Dalam konteks Paka­tan Rakyat, PAS melaungkan negara ‘berkebajikan’ sama tetapi dengan merujuk kepada hasrat Islam. Dalam hal ini, Pas ada kemunasabahan syiling kepada negara Islam kerana PAS mengimplikasikan dasar Is­lam.

Tetapi sejauh mana PAS boleh meninggikan syiling pelak­sanaan dasar Islam dalam perundangan, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, politik dan lain-lain dalam negara, inilah yang masih belum dapat dipastikan.

Mengapa ia tidak dapat dipastikan? Jawa­pannya ialah kerana menegakkan negara Is­lam bukan dasar perjuangan dalam Pakatan Rakyat.

Bagi saya, negara ‘berkebajikan’ yang mendapat keampunan Allah yang cuba diterangkan oleh PAS sebagai Baldatun Toiyibatun wa Rabbun Ghafur bergantung kepada sejauh mana PAS boleh merealisasikan sebuah pemerintahan yang melaksanakan syariah Al­lah dalam segenap aspek kehidupan dan melahirkan masyarakat yang patuh kepada Allah.

Sejauh mana ustaz melihat negara berkebajikan ini dapat dilaksanakan oleh PAS?

Dalam konteks persepakatan PR dan resolusi-resolusi pakatan sebelum ini, pelak­sanaan Islam dan negara Islam bukan agenda yang disepakati.

Dalam hal ini, kita perlu melihat di masa depan, bagaimana PAS menghadapi situasi dalam PR dalam perjuangannya menjadikan negara yang mendapat keampunan Allah kerana negara tersebut perlu laksanakan Islam sepenuhnya dalam segenap aspek.

Kesimpulannya, isu yang lebih utama ialah, sejauh mana PAS dapat mengembalikan reference kehidupan dan pemerintahan Islam dan mengangkat syiling sekularisme dan pemerintahan yang juga menjadi dasar PR.

Sumber: Akhbar Siasah, Bilangan 0270 (24-30 Jun 2011)

Categories: Uncategorized
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 108 other followers