Utama > komentar, Uncategorized > Persoalan Kenapa Melayu Dalam Perjuangan Islam?

Persoalan Kenapa Melayu Dalam Perjuangan Islam?

Apabila ISMA meletakkan kedudukan Melayu pada kedudukan penting dalam perjuangan penegakkan Islam di Malaysia saya dihujani dengan soalan yang bertalu-talu, persoalkan kenapa pentingnya isu Melayu dalam perjuangan Islam? Ramai yang tidak faham…. Nampak pelik dan melawan arus.

Perkara yang paling sukar bagi saya ialah cuba memahami latarbelakang persoalan dan apa yang berlegar dalam diri orang yang bertanya, sebab pada saya isu ini agak mudah.

Ini mendorong saya mengkaji isu-isu yang diperkatakan tentang Melayu oleh berbagai pihak seperti pendokong aliran pembaharuan, politik liberal multi-racial, golongan kaum muda, amalan-amalan politik parti politik Melayu dan politikus mereka dan masalah-masalah kelemahan Melayu itu sendiri.

Saya dapati perkataan Melayu dalam peradaban mereka sangat sinonim dengan kalimah rasis, asobiah, rasuah, tahyul, khurafat, malas, lemah dan sebagainya. Oleh itu bila saya katakan bahawa peranan Melayu penting dalam agenda kebangkitan Islam semua mata terbeliak dan pandang saya dengan pandangan lain macam. Saya pun terkejut. Mengikut golongan ini kita kena pisahkan antara Islam dan Melayu. Islam adalah nilai universal, masuk Islam bukan erti masuk Melayu, ada perbezaan antara Islam dan budaya Melayu, Melayu lain dan Islam lain. Orang kafir takut masuk Islam kerana keliru antara Islam dan budaya dan gaya hidup Melayu yang negatif.

Saya perhatikan seperti sudah menjadi lazim dalam peradaban Melayu kini mereka saling mengutuk diri sendiri sehingga mereka menjadi satu bangsa yang begitu rendah diri dan hampir hilang keyakinan terhadap diri sendiri. Sehingga mencerca diri sendiri seolah-olah telah sebahagian dari tabiat Melayu yang terkutuk dan menjadikan mereka harus terus dikutuk?, sehingga ada yang mencadangkan kita dakwah orang Cina lagi baik dari memperbetulkan orang Melayu.

Kesan dari itu kita dapat lihat betapa buruknya tanggapan umum terhadap Melayu sehingga tiada lagi orang Melayu berani angkat muka membela diri mereka, membela maruah mereka, apa lagi mecalunkan diri mereka sebagai bangsa yang memiliki risalah, memimpin dalam menegakkan kebenaran dan boleh membawa keadilan kepada umat manusia. Sehingga – barang kali- sebab itu lahir pejuangan Melayu dikalangan berbangsa Cina seperti Dr. Ridhuan Tee.

Inilah antara dapatan penting apabila saya menyelusuri beberapa tulisan yang bercakap tentang Islam, Melayu dan pembaharuan. Ia bukan satu kajian menyeluruh, tetapi cukup untuk memberi saya kefahaman kenapa perkataan Melayu menjadi begitu alergi dikalangan perjuangan Islam, golongan muda, pejuang pembaharuan dan juga liberal terutama dikalangan orang Melayu sendiri.

Baru saya faham kenapa timbulnya persoalan apakah relevennya mengaitkan Melayu dengan perjuangan Islam yang hendak dibawa oleh ISMA?.

Sesungguhnya saya tidak dapat menyembunyikan kesedihan terhadap dapatan ini. Saya teringat perselisihan anatara Tun Mahathir dengan Syed Hussain Alattas mengenai keperibadian Melayu.

  1. Adakah Melayu ini dari keturunan gen yang lemah atau ia kesilapan pemimpin melayu yang gagal membangunkan bangsa Melayu dengan satu projek pembangunan bangsa yang menyeluruh?.
  2. Adakah benar bahawa Melayu adalah bangsa yang lemah dan mundur secara semulajadi atau ia satu peradaban yang dicanang oleh penjajah dan kuncu-kuncunya untuk melahirkan satu bangsa Melayu yang tidak memiliki keyakinan diri dan sentiasa sedia untuk mengalah dan dijajah?

Saya sebenanrya dalam perbahasan ini sangat setuju dengan pandangan Syed Husain al Attas yang mengatakan tidak ada satu bangsa dilahirkan semulajadi lemah dan mundur, tetapi sebaliknya persekitaran politik dan kepemimpinanlah yang menjadikan mereka begitu.

Persepsi pertama saya dari persoalan tajuk, kenapa politikus dan pemimpin Melayu termasuk dari gerakan Islam menghindari dari mengangkat isu Melayu ialah kerana pemikiran mereka sendiri masih terjajah, inferior dan rendah diri. Mereka takut berhadapan dengan persepsi negatif yang segaja dilabelkan terhadap Melayu. Melayu adalah majoriti Muslim kalau Melayu bangkit maka bangkitlah Islam. Oleh itu adalah menjadi maslahat musuh Islam orang Melayu kekal lemah.

Kedua, mungkin wujud silap tanggap terhadap peranan kaum dalam sistem politik Islam sepanjang sejarah. Telah berlaku terlebih dos dalam masalah “bangsa Muslim akidahnya” seperti yang dibawa oleh syed Qutb. Atau “wehdah islamiyyah” berdepan dengan dahwah kaumiyah pada abad ke 19 sehingga berlaku silap faham atau sedikit ekstrem dalam memahami masalah qaumiyah. Kesan dari itu tercetus konfrontasi antara pejuang Islam dan pejuangan kaumiyyah secara total.

Bagi saya perkara ini tidak sepatutnya menjadi sukar. Imam Al Banna dalam rasaelnya telah memberi penjelasan dan mengambil jalan pertengahan. Dalam banyak hal tidak ada kontradik antara kaumiyyah dan Islamiyyah kecuali dalam beberapa perkara yang disebutkan secara terperinci apa yang kesimpulannya bahawa Islamiyyah lebih menyeluruh dari kaumiyyah atau dengan kata lain apa yang hendak dicapai oleh pendakwah kaumiyyah boleh dicapai dengan dakwah Islamiyyah, kerana Islam mengiktiraf kehendak kaumiyyah. Secara praktikal sepatutnya tidak ada percanggahan antara kaumiyun yang ikhlas dan islamiyyun yang ikhlas.

Apa yang menjadi masalah ialah apabila kita menganggap kaum kita adalah kaum yang lebih tinggi dari kaum lain dari segi kejadian dan keturunan seperti yang didakwa oleh Yahudi atau faham cauvinis yang boleh menyebabkan penindasan terhadap kaum lain.

Atau apabila kita menjadikan kaum sebagai hadaf bukan wasilah. Dalam sistem politik Islam kaumiyyah diterima sebagai wasilah bukan sebagai hadaf kerana apabila kaumiyyah bertukar menjadi hadaf ia boleh membawa perpecahan atau mencarik “wehdah Islamiyyah” yang diasakan di atas asas akidah. Maksudnya saya sebagai orang melayu saya boleh berjuangan membangunkan bangsa saya supaya menjadi bangsa yang kuat, bangsa tonggak dalam penegakkan agama Islam dirantau ini. Hadaf saya ialah ketuanan Islam dan penegakkan syariat. Saya pasti orang yang memperjuangkan Islam sebagai nilai universal semata-mata tidak faham tabiat atau sunnah dalam penegakkan agama Islam, mereka harus balik pada sirah secara yang menyeluruh.

Yang tidak boleh ialah bila saya memisahkan perjuangan kaum saya dengan objektif Islam dan perjuangan menjadi “kebangsaan sekular”. Saya memperjuangkan Melayu kerana Melayu untuk Melayu dengan saya asingkan elemen Islam pada Melayu. Dalam kes ini saya tidak nampak relevannya perjuangan seperti ini kerana Melayu sudah jadi Islam semenjak berkurun lamanya. Memisahkan Melayu dari Islam seperti memisahkan memisahkan kuku dengan kulit. Dan amat sukar sekali untuk kita balik kepada Melayu zaman sebelum Islam dan menghidupkanya semula. Ini suatu yang mustahil dan tidak ada siapa yang melakukannya.

Keperibadian Melayu sudah berubah menjadi keperibadian Islam sebab itu saya tidak setuju dengan sesiapa sahaja yang masih cuba mengaitkan Melayu dengan tradisi nenek moyang. Keperibadian Melayu telah berubah menjadi Keperibadian Islam. Cuma jika masih ada sedikit sebanyak amalan dikalangan segelintir masyarakat yang bercanggah dengan Islam itu tidak menjadikan kita boleh menganggap bahawa keperibadian Melayu lain dari keperibadian Islam. Kelemahan seperti itu ada pada semua bangsa termasuk bangsa Arab sendiri.

Adapun persoalan adakah bila kita kata begitu bermakna bahawa Melayu telah “conquer” Islam sehingga sesiapa yang nak masuk Islam hendaklah dia masuk Melayu. Adakah apabila sesaorang hendak mengucap dua kalimah syahadah dia mesti pakai baju Melayu atau jubah Arab? Saya rasa kalau itu berlaku maka ia kisah yang sangat terpencil dan tidak sepatutnya menjadi sebab kita membuat konsep besar bahawa perlu pemisahan antara keperibadian Melayu dan Islam yang akhirnya membawa natijah saya memperjuangkan Islam bukan Melayu dan walaupun saya orang Melayu, saya anti Melayu.

Isu masuk Melayu bagi saya ada kaitan dengan teori “transformasi bangsa”. Perkara ini telah berlaku dalam sejarah Islam. Bangsa yang didakwah menganut Islam dan berkahwin dengan bangsa pendakwah akhirnya menukar kebangsaan mereka kepada bangsa pendakwah seperti yang berlaku ke atas bangsa Qibti di Mesir yang sekarang menjadi bangsa Arab Mesir. Apa aibnya dengan teori ini kepada Islam??. Orang Melayu Islam berkahwin dengan orang Cina dan India Islam akhirnya jadi bangsa Melayu seperti yang ditakrifkan oleh perlembagaan Malaysia. Bagi saya tiada cacat celanya kalau ini berlaku. Sebaliknya jika transformasi ini tidak berlaku orang Cina Islam kahwin sesama mereka sahaja, India Islam kahwin sesama mereka sahaja, Melayu sesama mereka sahaja satu jurang akan berlaku dalam kelompok masyarakat Islam sendiri. Ini lagi tidak munasabah.

Bagi saya isu tukar nama, pakaian apa itu isu kecil tidak harus menjadi isu. Setahu saya belum terbukti orang Cina tidak mahu masuk Islam kerana takut kena tukar nama, takut kena pakai baju Melayu, dan banyak perkara seperti itu telah terjadi sehingga kita membesar-besarkan perkara ini. Saya juga tidak melihat kerigidan orang Melayu secara umum dalam pemahaman terhadap pakaian Islam. Sebaliknya juga orang Cina Islam sendiri tidak mengekalkan banyak budaya Cina yang mereka amalkan sebelum Islam. Keislaman mereka akan sendiri menukar cita rasa mereka dan memberi ciri keislaman kepada budaya mereka sendiri. Belum terbukti kalau persepsi itu (masuk Islam bererti masuk Melayu) dihapuskan, orang Cina akan berduyun-duyun masuk Islam.

Saya berpendapat transformasi bangsa sangat positif kepada sistem politik Islam dan boleh memberi impak besar kepada ciri kebudayaan Islam Malaysia yang merupakan campuran dari tiga budaya yang telah diIslamisasikan. Ia lebih baik kepada politik Islam berbanding dengan bentuk integrasi lain yang akan mencairkan keperibadian semua bangsa termasuk Melayu untuk dicampuradukkan menjadi satu budaya Malaysia tanpa agama.

Wallahu aklam.

  1. November 5, 2009 at 3:49 pm

    Saya tergelak apabila membaca perenggan terakhir. Bukan kerana lucu tapi idea yg dilontarkan itu bernas. Terbayang di kepala bagaimana mahu menjadikan sari & cheongsam pakaian yg menutup aurat dalam erti kata sebenar. Mungkin juga selepas ini ada kuih bulan yg boleh dimakan muslim..

    Wallahua’lam..

  2. November 5, 2009 at 4:42 pm

    alhamdulillah
    Baru perasan bahawa persepsi ana terhadap bangsa ana sendiri selalunya kurang positif.

    jazakallahukhair

  3. Ummu Ezaz
    November 5, 2009 at 4:50 pm

    Assalamualaikum ustaz,
    Jzkk kerana mengupas topik ini. Ana sendiri pernah merasakan memperjuangkan islam lebih baik daripada memperjuangkan melayu. Maka ana ingin bertanya lebih lanjut,
    1) adakah dakwah rasulullah turut menghighlightkan semangat kebangsaan Arab/Bani Quraisy/Bani Hashim? bagaimana penerimaan bangsa2 lain yg juga muslim pada ketika itu?
    2) betulkah jika dikatakan, “kita melayu, so fokus kat melayu, bangsa lain akan ada pendakwah dari kalangan mereka”. apa pendapat ustaz?
    3) bukankah ideal jika satu organisasi perjuangan islam itu terdiri dari ahli2 dari pelbagai kaum? adakah akan timbul masalah lain pula? atau isu sebenarnya ada isu fokus?
    4) Tiba-tiba ana teringat apabila bangsa Turki memegang tampuk kepimpinan khilafah, faktor ini turut menyumbang kepada kejatuhan khilafah islam. ustaz ada comment ke tentang ini?

    jzkk atas masa dan jawapan ustaz.

  4. Abdullah Zaik
    November 6, 2009 at 3:00 pm

    Wa alaikumussalam,

    Terimakasih, ummu ezaz,

    1. Islam adalah perjuangan kita, dan Islam adalah agama fitrah. Memang menjadi fitrah manusia kasihkan bangsanya sendiri lebih dari orang lain.
    2. Rasulullah s.a.w bukan pendakwah qaumiyyah tetapi baginda sendiri dengan takdir Allah terpilih dari keturunan atau qabilah arab yang paling disegani pada waktu itu.
    3. Rasulullah s.a.w menyebut “imam dari quraisy”, Ibnu Khaldum menjastifikasikannya sebagai “asobiayah atau pengaruh’
    4. Ahli halli wal aqdi dizaman rasulullah adalah terdiri dari pemuka-pemuka kaum bukan berdasar semata-mata mereka yang terdahulu atau terbaik Islamnya
    5. Allah berfirman antara lain yang kita selalu baca, “dan berilah peringatan kepada asyirah (kaum keluargamu) yang hampir”. “dan “ulul arham (mereka yang memiliki pertaliaan rahim) lebih utama sebahagian mereka dari sebahgian yang lain”.
    6. Arab adalah satu bangsa yang sangat menjaga keturunan, dalam fikh hanafi ada mensyaratkah sekufu dari segi nasab. Kita orang melayu dipanggil orang ajam…yakni bangsa yang tidak ambil berat tentang nasab keturunan.
    7. berdasarkan faktor sejarah arab masih dianggap sebagai bangsa pemimpin kepada Islam.
    8. jika itu pandangan Islam terhadap kaumiyyah secara umum, kenapa kita tidak boleh aply perkara yang sama dalam reality melayu?
    9. Dalam reality Malaysia Melayu adal mejority muslim. saya tidak kata kita berdakwah memperjuangkan melayu tetapi bagaimana kita boleh bayangkan kita perjuankan nasib orang Islam tetapi menolak orang melayu?
    10. Ahmad ar rashid dalam al Masar mencadangkan keseimbangan nisbah mengikut peratusan kaum dalam sesebuah negara melayu berapa peratus, cina muslim berapa peratus dan india muslim berapa peratus ikut nisbah.
    11. Isu melayu pada saya dengan itu adalah merupakan isu hakikat reality setempat dan isu strategi. walaupun begitu ia bukan perkara yang boleh dipisahkan.
    12. (no 4)Saya tidak setuju dengan tanggapan itu sebaliknya saya berpendapat bahawa itu menunjukkan bahawa kepimpinan Islam boleh bertukar tangan dari arab ke Turki dan ke Melayu.
    13. Tidakkah Melaka diakuai dalam satu period salah satu kuasa kepimpinan Islam di nusantara?

    wallahu aklam

  5. hannanistisyad
    November 7, 2009 at 4:08 pm

    Moga ISLAM bangkit di rantau ini,

    Moga ISLAM tertegak bersama kemuliaan akhlaq pencinta rasulullah S.A.W,

    Berbekal aqidah yang lebih kukuh daripada gunung-ganang,

    Juga ketaatan mukhlisin kepada ALLAH taala,

    Bangkit melalui bangsa kita, MELAYU tercinta…

  6. bior benar
    November 7, 2009 at 6:06 pm

    Salam
    Menambah point Ust Lah, untuk soalan 4 dari Ummu Ezaz..
    Kalau enti pernah tengok “Lawrence of Arabia”.. kejatuhan Khalifah Turki Uthmaniyyah (KTU), disebabkan oleh British menggunakan isu kaum Arab lebih tinggi dan lebih layak memerintah, bukannya kaum Turki. British memarakkan semangat asabiyyah yang tidak bersandarkan kepada Islam, dan lalu kita lihat sebenarnya Sharif-Sharif negeri Arab, yang selama ini asabiyah qabilah sanggup bergabung dan merebutkan Jazeerah Arab dari KTU. Mereka membunuh, merompak saudara seaqidah, merosakkan infrastruktur.. Ini bukanlah sifat kaumiyyah yang dibenarkan oleh Islam..
    Sharif2 tu pun terdorong nak rampas Jazeerah Arab dari KTU atas faktor gila harta, tanah dan kuasa, bukanlah atas faktor aqidah to begin with..

    Jadi persoalan enti, bukan satu faktor sahaja menyebabkan kejatuhan KTU.. tetapi banyak faktor lain.. contoh, penyerapan anasir jahat dalam KTU seperti Mustafa Kamal At Tartuk.. penggunakan anasir luar untuk mempengaruhi negeri2 di bawah khilafah islam, seperti Lawrence… memainkan isu ekonomi dan hutang.. menyerapkan budaya2 jahil bukan islam dalam masyarakat islam.. Ini adalah antara faktor2 besar yang menyebabkan kejatuhan KTU.. Dan bukanlah kerana faktor bangsa Turki itu sendiri..

    Allahua’alam

  7. bior benar
    November 7, 2009 at 6:13 pm

    Comment upon Comment to Umar Abd Rasyid:

    Ana mencadangkan enta untuk melancong satu dunia.. Hampir seluruh negara di dunia ada bangsa tempatnya yang beragama Islam..

    Ana rasa cheongsam tu kalau buat longgar, dan tak belah, lengan kasi panjang.. boleh tutup aurat tau.. Atau mungkin bleh merantau ke negara China (ikut pakej Muslim)..

    dan mungkin juga enta tak pernah tengok saudara seIslam yang memang dari India (bukan Malaysian Indian, tapi India Indian) oke je pakai sari, tapi selendang luar dia cover habis semua memang tak nampak perut dan lengan🙂 bila dia balik rumah, ada suami dan anak2 dia je.. dia tarik la selendang tu… ni pengalaman ana sendiri tido makan di rumah “foster parent” berbangsa India Muslim di luar negara..

    Dulu orang Melayu pakai “kebatatdekrang” (kebaya ketat pendek jarang” .. sekarang ada “kebarong” (kebaya kurong) .. longgar dan labuh.. ikut syarak insya Allah… dulu selendang jambul.. sekarang tudung litup..

  8. November 8, 2009 at 10:27 am

    salam..

    ubahlah minda kita yg telah layu sekian lama. tanamkan di minda kita bahawa Melayu sebenarnya bangsa yg hebat. kaji sejarah melayu sejak sekian lama pasti kita akan menjumpai kekuatan melayu di situ. TAPI INGAT…..melayu bukan hanya terdapat di bumi MALAYSIA tapi di kebanyakan negara ASEAN ada melayu sejak dahulu kala…ini yg kita perlu kaji…melayu di indonesia sahaja ada lebih kurang 220 juta melayu….jika kita jumlahkan secara kasar kita akan dapati melayu di rantau kita ini berjumlah 360 juta…bukankah itu satu kuantiti bilangan yg cukup besar…bayangkan kekuatan kuantiti itu boleh kita ubah jadi kekuatan aqidah islamiyah, kekuatan tenaga, kekuatan ekonomi, kekuatan ketenteraan, kekuatan negara, kekuatan kepimpinan, kekuatan segala2nya…bukankah kita boleh memerintah …… BERINGATLAH WAHAI MELAYU….

  9. November 8, 2009 at 10:39 pm

    sy berfikir sebentar dgn ayat sdr yg berbunyi,
    “jika melayu bangkit maka bangkitlah Islam”..
    bagaimana jika melayu yg bangkit itu adalah melayu yg x tutup aurat atau menolak syariat umumnya?

    jgn hanya tgk situasi di malaysia, bagaimana pula jika di indonesia? semangat kebgsaan indonesia dimasukkan dalam perjuangan islam.. di US dan eropah pula, semangat kebgsaan arab dlm perjuangan islam.. maka org kafir tidak akan nmpk di mana keterbukaan islam..

    sy x berapa setuju dgn semangat kebangsaan melayu atau mana2 bangsa dalam perjuangan Islam.. ia akan menakut2kan dan mengelirukan bangsa2 lain yg masih kafir mendekati islam sebuah agama universal..

  10. hannanistisyad
    November 9, 2009 at 10:04 pm

    Assalamualaikum,

    Saya berpendapat, En. Hizam perlulah melihat idea ‘melayu bangkit islam pun bangkit’ ini dari pandangan yang menyeluruh, lontarkan pendapat setelah menelaah dengan baik apa yang Ust. Lah dah perkatakan..

    En. Hizam bersama Parti Islam Semalaysia pasti biasa benar dengan media mainstream negara (TV3, TV1 dll) yang selalu quote kata-kata pemimpin pakatan rakyat secara tak menyeluruh (ambil quote yang boleh diputar belitkan maksudnya)..

    Mereka tak mahu memahami secara menyeluruh apa yang pihak lain keutarakan. Bukan setakat tu, mereka putar belit kenyataan yeng sebenarnya..

    Mari elakkan diri daripada menjadi seperti mereka.. Fahami segala isi yang dibentangkan di dalam idea ‘Islam bangkit melalui kebangkitan melayu’ in dengan kefahaman yang sahih..

    Untuk poin-poin En. Hizam yg seterusnya, Ust. Lah dah terangkan dah dalam tulisannya..

    “Kullu Haq walau kana Murran” Maaf dipinta =)

  11. redwarriors
    November 11, 2009 at 1:13 pm

    salam,

    tidak cukupkah 52 thun memperjuangkan melayu??
    ape yang jadi kepada bangsa melayu pada hari ni??.

    kenapa mesti ada segolongan dari kita yang bercakap tentang islam, tetapi menghentam gerakan islam? lebih menyokong kepada gerakan sekular??

    minta pandangan ustaz.

    soalan saya kepada ustaz.

    1. Apa pendirian ustaz tentang parti politik di Malaysia. jika ustaz diberi pilihn untuk memilih??

    2. adakah ISMA akan menyertai medan politik ? atau hanya akan kekal sebagai NGO semata mata??

    kadang2, islam itu bukan melayu…ISLAM itu untuk semua..

    3. macam mana cadangan ustaz untuk memajukan melayu dan seterusnya memajukan ISLAM itu sendiri bak kata ustaz, bila melyu maju, ISLAM akan maju..

    4. Konteks malaysia hari ni, banyak sangat program2 yang berbentuk hedonisme yang menjauhkan masayarakat melayu kepda ISLAM, apa perana n ISMA untuk membantersa perkara ini??

    5. apa pandangan ustaz ttng konsert2 di Malaysia..yang majority nya anak melayu yang pegi menonton nya..

    terima kasih ustaz..assalamualaikum

    membina generasi al quran

  12. sulaiman
    November 12, 2009 at 1:27 am

    Sedikit perkongsian.

    Melayu jika dikaji menurut istilah perlembagaan Malaysia ialah rakyat Malaysia yang beragama Islam dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

    Sebab itu agaknya- majlis agama islam dipanggil sebagai majlis agama islam dan adat melayu. Residen Inggeris boleh bagi bagi nasihat kecuali berkaitan dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu.

    Dicadangkan supaya ISMA tukar nama kepada Ikatan Melayu Malaysia. Lagi jelas dan tepat atau ramai kita joint Persatuan Kebangsaan Melayu Malaysia untuk memperjuangkan Islam ?

  13. Abdullah Zaik
    November 12, 2009 at 10:43 am

    wa alaikumussalam, redworriors !

    Saya disini mengemukan pandangan dalam beberapa perkara berkaitan fikrah dan harakah. Mungkin ada perbezaan pendapat tetapi saya tidak menghemtam mana-mana gerakan Islam. Dan jauh sekali menyokong gerakan sikular.

    Jawapan;
    1. Saya berpendapat parti-parti politik Islam dan Melayu mesti berpegan kepada agenda besar umat sebagai thawabit. lain-lain saya tidak boleh masuk campur hal dalaman orang lain.
    2. Itu soal masa depan…tunggu masa lah
    – setuju kadang-kadang islam bukan Melayu cuma saya nak tegaskan Islam adalah akidah dan syariat, bukan sekadar agenda politik semata-mata
    3. Bila melayu benar-benar berpegang kepada islam, beriman dengan risalah islam,menghayati islam sepenuhnya dalam kehidupan mereka, memiliki keperibadian yang unggul untuk mengisi keperluan membina sebuah tamadun. dengan itu kita ada satu umat yang kuat untuk melaksana dan memepertahankan projek Islam. tanpa satu umat yang kuat kita akan terdedak kepada jual beli perinsip demi mempertahankan kuasa.
    4. kita kena perangi itu semua supaya kita dapat melahirkan muslim yang sejati.
    5. Kosert adalah satu budaya hidup yang melalaikan masyarakat dari agenda mereka yang sebenar…sebab itu bagi kami mentarbiah masyarakat satu tugas lebih utama dan mencabar tanpa menafikan peranan dibidang-bidang lain.

  14. Abdullah Zaik
    November 12, 2009 at 10:47 am

    terimakasih atas cadangan….
    Saya harap saudara sulaiman lebih bersikap terbuka terhadap pandangan yang berbeza.

  15. Thinking Aloud
    November 13, 2009 at 8:54 am

    Setuju Melayu & Islam adalah sinonim.
    Cuma risau lepas ni kita lebih cenderung menyokong perjuangan sekular melayu (yg jelas perjuangan melayunya) daripada rakan-rakan dalam parti Islam yg lebih multi-racial sejak kebelakangan ini.

  16. November 14, 2009 at 7:40 am

    Jzkk ustaz. Ana merasa tersentuh dgn artikel ini.

    Berada di bumi New Zealand ini, pelajar2 Melayu merupakan kelompok yg boleh dikatakan majoriti. Dan di University ana sendiri, pelajar2 Melayu menguasai bidang2 professional spt perubatan, farmasi dll. Alhamdulillah. Berbekalkan tarbiyah, kami bertemu dgn saudara2 seislam dari pelbagai bangsa dan merasakan ukhuwwah yg amat indah. Buat pertama kalinya, setelah keluar dari kepompong Malaysia, ana merasa bangga dilahirkan sebagai bangsa Melayu kerana dlm kelompok Muslim di New Zealand ini, kami dikenali melalui bangsa dan asal kami. Buat pertama kalinya, ana mendengar saudara2 seislam lain memuji kami dengan menyebut ‘The Malay sisters or brothers’ (Saudara/Saudari berbangsa Melayu!).

    Buat pertama kalinya ana merasa kita semua, bangsa Melayu amat bernilai dan memainkan peranan penting dalam kebangkitan Islam apabila di sini, kami seringkali diberi kepercayaan untuk memimpin dan menggerakkan persatuan Islam di sini. Bila kami merendah diri kerana merasakan saudara2 berbangsa Arab lebih layak, mereka berkata ‘ The Malays have a good quality of leadership (Org2 Melayu memiliki kualiti kepimpinan yg baik sekali). Alhamdulillah! Alhamdulillah! Bukan pujian yang dicari, tetapi jatidiri yang bangkit dari sini telah membawa impak besar dan positif sekali dalam diri kami. Kami tidak lagi percaya bahawa org2 Melayu lemah, malas atau mundur. Kerana kami telah berada di sini, dan kami tidak malas, tidak lemah, tidak mundur malah kami diberi kepercayaan kerana kami adalah bangsa Melayu yang dimuliakan dengan Islam!

    Kalau di Malaysia, kita semua muak mendengar orang Melayu sendiri mengutuk dan merendah2kan bangsa sendiri, di sini kami diberi kepercayaan dan dilihat sebagai bangsa yang berpotensi untuk memimpin ummat! Mengapa tidak kita kibarkan rasa mulia kerana berbangsa Melayu, kerana Melayu sendiri telah sinonim dengan Islam. Seperti kata Umar, ‘Kemuliaanku kerana Islam’. Begitulah kita, kenapa kita ingin mengibarkan semangat Melayu?Kerana bangsa Melayu mulia dengan Islam. Adakah kita bersifat asobiyah melampau?Tidak! Kalau kami di New Zealand mampu melihat rasionalnya, mengapa tidak di tanahair sendiri, yg memangnya bumi asal Melayu dan pernah dikenal sebagai Tanah Melayu?

    Allahu’alam

  17. Afizhi
    November 15, 2009 at 1:06 am

    Agenda British di Tanah Melayu sejak sebelum kemerdekaan telah menggunakan teori ketandusan budaya.

    Teori ini telah diguna pakai bagi melemahkan sesuatu bangsa menggunakan akal fikiran dan lidah tajam bangsa mereka sendiri.

    Sebagai contoh dengan mengatakan bahawa ‘ Melayu itu sifatnya malas, kuat tidor dan pengotor'( Za’ba)

    Contoh lain kata-kata Melayu Mudah Lupa( Tun Dr Mahathir)

    Kata-kata lain’ Melayu itu suka berhibur dan berjoget’ ( Lee Kuan Yew)

    Maka kebanyakkan Melayu mula percaya lantas lemah dalam isu perjuangan bangsa yang sebenarnya terbukti telah membantu menegakkan Islam sejak dahulu.

    Teori ini( Teori ketandusan Budaya) masih lagi digunaka pakai sehingga kini terutamanya di Singapura dan Tanah Melayu.

    Hasilnya?

    Melayu sendiri lupa akan sejarah bahawa Melayulah Pendakwah dan Penegak Islam Di Nusantara. Contohnya Syeikh Hidayatullah, para sunan, Tok Janggut, Tok Kenali, Dol Said, SultaN2 melayu, PKMM, UMNO-PAS( kejasama sama sehingga meletakkan Islam Di dalam perlembagaan) dan ramai lagi.

    Semuanya bermula dengan MELAYU tanpa sedikit pun menolak usahasama daripada yang lain ( Tanah melayu pernah dibantu oleh sam po kong atau Zheng He atau lebih dikenali sebagai Cheng Ho,1390-1433).

    Semuanya bermula dengan Melayu di Nusantara dalam menegakkan ISLAM.

    Wallahua’lam

    Referances:
    1. Dilema singapura, Lily Zubaidah Rahim Prof. Madya
    2. Sejarah Dakwah Di Nusantara, Hafizi Prof. Madya

  18. Noorazam
    Mac 30, 2011 at 5:27 am

    Persoalan Buat Ustaz :

    Pada pandangan Ustaz : Dalam konteks realiti politik Malaysia semasa,pada prioriti berapakah Persoalan Melayu mengikut tafsiran Ustaz akan diletakkan berbanding:

    1. Mendesak Penghapusan Undang-Undang yang Zalim ISA
    2. Memperjuangkan wujudnya Pilihanraya yang Bersih (Bebas dari penipuan)
    3. Menuntut Ruang bersuara yang sama rata antara Parti-Parti Politik di Media (TV&Surat Khabar),supaya masing-masing dapat mengemukakan Idea dan Cadangan masing-masing kepada rakyat untuk dinilai

    Syukran.

  19. Firdaus
    Mac 31, 2011 at 5:29 am

    Assalamualaikum wbt,

    Saya bersetuju 100% dengan apa yang diperkatakan dengan Ustaz Lah.Betul, saya nampak perjuangan tersebut sangat berfaedah dari sudut pembangkitan Islam.

    Cumanya, saya masih merasakan impaknya mungkin tidak jauh kerana ia masih tidak menyeluruh. Bagaimana jika terbangkitnya “Melayu bersama Islam”, adakah dasar negara menjadi dasar Islam dan adakah negara Malaysia akan menjadi negara Islam? (bukan sekadar negara yang beragama rasmi Islam seperti sekarang ini).
    Adakah dengan penubuhan ISMA, salah satu jemaah Islam di Malaysia ini bertujuan untuk melarikan diri dalam berkecimpung dengan politik? kerana jika betul ISMA bersetuju dengan politik (mengambilnya juga dalam perjuangan, kerana Islam itu menyeluruh, termasuklah politik), mungkin agenda perjuangan ISMA hanya boleh diletakkan sebagai salah satu cabang perjuangan di dalam satu kelompok jemaah yang lagi besar dan lagi awal berkecimpung di Malaysia (PAS).

    Saya 100% tidak bersetuju dengan Ustaz Lah, yang mengatakan ayat “Islam bukan sekadar agenda politik”. Saya tidak tahu Ustaz menujukan kepada siapa, tetapi yang saya tahu, hanya satu jemaah Islam yang berjuang dalam politik iaitu PAS. Dan apa yang saya nampak dalam PAS ini, mereka amat mementingkan usrah, akidah, dan tarbiah dan kemasukan siapa-siapa dalam PAS setelah terdidiknya Islam mereka hanyalah bonus. Jadi, amat jelas, saya rasa, politik dalam PAS adalah agendanya, bukan PAS menggunakan Islam sebagai alat.

    Wallahu’alam. Maaf dengan menggunakan ayat-ayat “direct” seperti setuju dan tidak setuju🙂 Saya mohon penjelasan

  20. Muhammad
    April 4, 2011 at 1:18 am

    Assalamualaikum w.b.t
    saya ada beberapa soalan…
    1) Jika memartabatkan bangsa dapat menyatukan semua orang, mengapa Rasulullah SAW tidak menggunakan semangat ke’arab’an untuk menyatukan kaum ‘Aus dan Khazraj?
    2) Adakah perjuangan memartabatkan bangsa melayu ini sama dengan perjuangan UMNO dan PERKASA?

  21. Soraya Abdullah
    April 15, 2011 at 10:57 pm

    Assalamualaikum ,

    saya bukan hendak menghentam mana mana bangsa . Tapi bukankah Islam ini agama tidak mengira bangsa ? Bagaimana cina muslim di malaysia atau india muslim di malaysia ? Bukankah kita patut bersatu sebagai orang muslim ? bukan melayu muslim , cina muslim , india muslim . Tapi hanya muslim. Diakhirat pun , allah tak tgk kita bangsa mana , tapi dari segi amalan kan ? Maaf saya tidak dapat melihat dari perspektif anda , tapi saya cuma meluahkan pendapat saya

    Adakah kita mahu menyamai bani israel yang terlalu bangga dan taksub pada bangsa mereka . Saya tidak mahu , bangsa saya saudara seagama saya menjadi seperti itu . Kita patut berbangga kerana agama kita , bukan mengagungkan satu satu bangsa . Saya juga memohon penjelasan ustaz .

    Assalamualaikum

  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: