Utama > renungan > Sheikh Dari An Najd

Sheikh Dari An Najd

Berkata Syeikh Al-Mubarakfuri dalam kitab sirahnya, Ar-Rahiq Al-Makhtum, “Setelah datang pembesar-pembesar Quraisy di Dar An-Nadwah seperti waktu yang ditetapkan, muncul di hadapan mereka Iblis berupa seorang syeikh yang sangat mulia memakai batlah dan berdiri di pintu. Mereka pun bertanya, “Siapakah gerangan syeikh ini?” Dia menjawab, “Seorang syeikh dari Najd telah mendengar tentang mesyuarat hari ini, lalu ia hadir bersama untuk mendengar apa yang kamu hendak bincangkan, boleh jadi dia ada nasihat dan pandangan yang bernas.” Mereka jawab, “Kalau begitu silakan masuk.”

Hakikat syaitan sebagai musuh kita dan musuh dakwah kita sudah lama kita tahu. Allah sentiasa memperingatkan kita tentang tipu daya syaitan, tetapi jarang kita mempedulikannya dalam rancangan dakwah kita.

Setelah melakarkan perancangan dakwah dalam kitab Al-Masar dengan menggunakan segala kemahiran ilmu perancangan, dalam kita Sina’at Al-Hayat, Syeikh Muhammad Ahmad Ar-Rashid kembali mengingatkan kita dengan mimpi orang soleh, firasat mukmin dan sebagainya sebagai sebahagian daripada faktor yang perlu diambil kira dalam perancangan dakwah Islam. Tetapi seingat saya beliau tidak pernah pula menyebut tentang peranan syaitan dalam menggagalkan rancangan dakwah. Justeru saya cadangkan satu lagi unsur penting dalam dalam khazanah ilmu dakwah iaitu kemampuan da’ie untuk melihat peranan sulit yang dimainkan oleh syaitan jin dalam menggagalkan atau menghalang jalan dakwah.

Saya rasa ia sangat relevan sekali kerana ia disebut dengan jelas dalam Al-Quran dan juga dalam sunnah Rasulullah SAW. Kita bukan sahaja berhadapan dengan musuh luaran (syaitan manusia) yang dapat kita lihat, tetapi juga musuh yang tidak dapat kita lihat atau yang menjelma berbagai-bagai rupa iaitu syaitan jin.

Dalam Surah An-Nas, Allah mengajar Nabi Muhammad supaya berdoa, “Aku berlindung daripada kejahatan was-was yang meragukan yang mengintai-intai.” Yakni sekejap muncul sekejap hilang. Memang dalam tabiat dakwah, syaitan tidak berani berhadapan dengan kebenaran. Apabila jauh dari kebenaran ia muncul dan bila berhadapan dengan hujah kebenaran ia menghilangkan diri. Yang memberi was-was dalam dada manusia adalah syaitan dari kalangan jin dan manusia. Ada syaitan manusia dan ada juga syaitan jin yang menyerupai manusia.

Itulah yang telah berlaku kepada Nabi Adam dan Hawa ‘Alaihimas Salam. “Lalu syaitan menimbulkan was-was (keraguan) kepada keduanya, supaya terbuka aurat dan mereka dicampak ke bumi. Demikian bagaimana peranan syaitan dalam mempengaruhi tingkah laku manusia dan menggunakan pelbagai cara untuk menghalang dakwah, bukan sahaja melalui bisikan di dalam hati, bahkan juga sehingga menjelma sebagai manusia.

Antaranya juga kisah yang disebut dalam sirah, iaitu sewaktu peristiwa Bai’atul ‘Aqabah yang kedua. Setelah selesai memeterai perjanjian bai’ah dan mereka hampir bersurai, ia ditemui oleh seorang syaitan.

Oleh kerana ia penemuan di peringkat akhir, maka tidak mungkin untuk menyampaikan berita kepada pembesar Quraisy melaui cara rahsia supaya mereka dapat buat tindakan mengejut semasa majlis sedang berlangsung, syaitan itu bangkit dan pergi ke satu tempat tinggi dan berteriak sekuat hati, “Wahai penghuni rumah, tidakkah kamu mahu ambil tindakan terhadap Muhammad dan sekumpulan yang murtad bersamanya? Mereka telah berkumpul untuk memerangi kamu?” [Rahiq Makhtum, Al Mubarakfuri – ms 180]

Dan dalam kisah sewaktu di Dar An-Nadwah di mana syaitan muncul dalam mesyuarat berupa seorang syeikh dari An-Najd, “Setelah datang pembesar-pembesar Quraisy di Dar An-Nadwah seperti waktu yang ditetapkan, muncul di hadapan mereka Iblis berupa seorang syeikh yang sangat mulia memakai batlah dan berdiri di pintu. Mereka pun bertanya, “Siapakah gerangan syeikh ini?” Dia menjawab seorang syeikh dari An-Najd ada mendengar tentang mesyuarat hari ini, lalu ia hadir bersama untuk mendengar apa yang kamu hendak bincangkan, boleh jadi dia ada nasihat dan pandangan yang bernas.” Mereka menjawab, “Kalau begitu silakan masuk!” [Rahiq Makhtum, Al-Mubarakfuri – ms 189]

Syaitan yang berupa syeikh dari An-Najd itu menyertai pembesar Quraisy untuk sama-sama bermesyuarat bagaimana menghalang dakwah dan menghapuskan Rasulullah SAW. Dalam keadaan biasa, syaitan mendampingi manusia dengan memberi pelbagai bentuk bisikan was-was dan keraguan dalam diri manusia. Dan dalam keadaan lain ia menyampaikan was-was dengan cara berselindung di sebalik manusia lain. Dalam keadaan ia tidak boleh memainkan peranan yang berkesan dengan cara berselindung, syaitan mungkin muncul dalam bentuk yang nyata seperti yang dapat kita lihat dari kedua peristiwa di atas.

Kita selalunya mengambil kira musuh-musuh yang dapat kita lihat semata-mata, tetapi kita sering alpa terhadap peranan musuh yang tidak dapat kita lihat.

Dalam kisah-kisah yang saya sebutkan tadi ternyata peranan syaitan sangat signifikan. Mereka menasihat dan memberi idea, membantu mendedahkan rahsia dan sebagainya. Jadi, syaitan boleh buat banyak perkara secara tersembunyi dan juga nyata dalam menggagalkan dakwah kita. Oleh itu kita jangan hanya menghisab musuh dari sudut luaran sahaja tetapi juga harus dari segi dalaman.

Ini menuntut daripada kita kesiapsiagaan yang amat tinggi, kewaspadaan yang berterusan terhadap tipu daya syaitan dari kalangan manusia dan juga jin, atau jin yang berupa manusia.

Justeru tidak cukup kita sekadar bergantung kepada kepandaian akal dan pemikiran sahaja dalam membuat rancangan tetapi hendaklah disokong oleh kekuatan rohani dan kebergantungan dengan Allah SWT. Allah telah menegaskan bahawa syaitan adalah musuh, bahkan musuh kita yang sebenarnya ialah syaitan. “Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka kamu jadikanlah ia sebagai musuh.”

Oleh itu, dalam kita mengharungi liku-liku perjuangan jangan sekali-kali leka dalam ingatan kita bahawa kita sebenarnya sedang berlawan dengan syaitan.

Justeru, saya menyeru diri saya dan anda sekalian agar sentiasa beriltizam dengan sunnah, muraqabah Allah, merasai kebersamaan dengan Allah (Istihdhar Maiyyatullah), mendekatkan diri kepada Allah dengan doa dan munajat, menjernihkan tawajjuh kepada Allah SWT di setiap masa dan ketika, minta tolong dan sentiasa bergantung kepadanya dalam setiap ketika dan dalam semua perkara. Kita serahkan urusan mengendalikan tipu daya syaitan kepadaNya dengan kita bersungguh-sungguh menyelesaikan tanggungjawab ubudiah kita terhadapNya dengan penuh taqwa, pergantungan dan penyerahan diri.

Syaitan hanyalah fitnah dan tipu daya, ia akan kalah bila berhadapn dengan cahaya kebenaran (Al-Haq) dari Tuhan.

“Apabila datang kebenaran akan hilanglah kebatilan. Sesungguhnya kebatilan itu sifatnya sangat mudah hilang.”


Kategori:renungan
  1. Tiada komen.
  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: