Arkib

Arkib Pengarang

Manhaj hidup muslim di zaman kebendaan

Dunia kini dilanda arus deras kebendaan dan ia menyelubungi segenap aspek kehidupan. Situasi dunia hari ini yang didominasi barat tidak meletakkan agenda lain dalam sistem mereka melainkan kebendaan sebagai fokus utama. Lihat sahaja corak kehidupan masyarakat barat, mereka berlumba-lumba mengejar ‘title’ siapa yang lebih kaya dan berharta, siapa yang lebih kuat berkuasa dan siapa yang lebih ternama.

Pengaruh budaya hidup barat ini telah melanda kehidupan kita di dalam dunia Islam. Bukan sekadar budaya barat ditiru dan kebendaan menjadi prioriti, bahkan juga orang Islam dilihat makin lemas demi memuaskan hawa nafsu.

Sesungguhnya Islam tidak menolak kebendaan dan keduniaan bahkan Islam memandang dari sudut yang lebih syumul lagi. Kehidupan bukan sahaja terdiri daripada aspek kebendaan, ia juga terdiri daripada aspek rohani dan spiritual.

Allah mengajar manusia bahawa aspek rohani adalah aspek yang perlu diutamakan.

Allah berfirman:

لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ * ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ * إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ
*فَلَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ 

“Sesungguhnya kami telah mencipta manusia sebaik-baik penciptaan. Lalu kami letakkannya di tempat paling bawah. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh, maka bagi mereka pahala yang tidak putus-putus”.

Lihatlah bagaimana manusia yang dijadikan Allah sebaik-baik penciptaan menjadi hina apabila meminggirkan aspek rohani yang disebut sebagai iman dan amal soleh.

Arus kebendaan yang sangat kuat menyebabkan kita leka dan lupa bahawa dunia ini hanyalah sementara dan segala nikmatnya hanyalah angka-angka kosong yang tidak bernilai di akhirat nanti. Oleh yang demikian, Islam mengajar kita supaya seimbang dalam menunaikan hak diri. Jika kita sibuk mengisi kehidupan dengan mencari harta dan kesenangan, pengisian hati tidak boleh dipinggirkan sama sekali. Seperti mana kita tidak pernah lupa makan untuk mengisi perut, begitu juga kita tidak boleh lupa untuk berzikir, solat, berdoa untuk mengisi keperluan hati dan rohani. Bukannya kita perlu berpuasa sepanjang masa, berkhalwat siang dan malam berzikir mengingati Allah, tetapi kita harus menunaikan segala hak dengan penuh kesimbangan.

Keseimbangan yang dimaksudkan terkandung di dalam firman Allah di dalam Surah Al-Qasas, ayat ke-77:

وَابْتَغِ فِيمَا آَتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآَخِرَةَ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ
وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ

“Carilah apa-apa yang Allah sediakan untukmu di akhirat, dan janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia, dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang membuat kerosakan”.

Sebagai muslim, kita menjadikan dunia itu sebagai ladang menuju akhirat. Meskipun dunia itu melalaikan, bukanlah bererti kita menolak terus keduniaan, akan tetapi kita mengambil segala manfaatnya sebagai bekal bertemu Allah. Konsep inilah yang dinamakan zuhud. Imam Ahmad Ibn Hanbal ditanya, adakah seseorang itu boleh dikatakan zuhud sedangkan dia memiliki 1000 dinar? Beliau menjawab, benar dia boleh dikatakan zuhud apabila bertambah hartanya dia tidak gembira, dan apabila berkurang dia tidak bersedih. Nabi Sulaiman juga boleh dijadikan contoh mereka yang zuhud sekalipun memiliki kekayaan yang tidak mampu ditandingi orang lain.

Nabi Muhammad pernah memperakui di dalam sebuah hadis bahawa dunia itu memang nikmat yang menyeronokkan. Nabi bersabda dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim daripada Said Al-Khudri R.A:

إن الدنيا حلوة خضرة وإن الله مستخلفكم فيها فينظر كيف تعملون فاتقوا الدنيا واتقوا النساء
فإن أول فتنة بنى إسرائيل كانت في النساء

“Sesungguhnya dunia itu manis kehijauan (lazat seperti buah manis yang hijau), dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu khalifah di dunia ini maka Allah akan melihat apa yang kamu lakukan (ketaatan atau kemaksiatan), dan takutlah (akan fitnah) dunia, dan takutlah (akan fitnah) wanita, sesungguhnya fitnah yang mula-mula menimpa Bani Israel adalah pada wanita”.

Islam mengajar kita sifat tajarrud untuk berlepas diri dengan nikmat-nikmat godaan dunia. Tajarrud membawa erti bersih dan suci daripada dunia. Orang yang tajarrud daripada dunia ialah orang yang tidak melekat sedikit pun dunia padanya. Untuk tajarrud kita terlebih dahulu perlu mengenal pasti apa yang ingin kita tinggalkan, iaitu dunia dan segala yang ada padanya meliputi harta, pangkat, wanita dan takhta.

Demi memastikan hati kita tajarrud (bebas) daripada dunia, maka kita memerlukan perjuangan umpama rakyat sesuatu negara berjuang membebaskan negaranya daripada cengkaman musuh. Dengan bersenjatakan iman dan taqwa, mudah sahaja bagi kita menundukkan musuh kebendaan dan keduniaan itu. Namun ada satu syarat besar iaitu kehendak dalam diri yang kuat. Keazaman yang padu dan hati benar-benar kuat niatnya sahaja yang mampu melawan arus kuat gelombang dunia.

Firman Allah di dalam Surah Ar-Ra’d, ayat ke-11:

إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum melainkan kaum itu yang mengubah diri mereka sendiri”.

Dalam memastikan kejayaan dalam perjuangan tersebut, di sini perlunya peranan Al-Quran, kekhusyukan solat, pengharapan tinggi dalam berdoa dan tuntutan memperbanyakkan ibadah sunat untuk menghampirkan diri kepada Allah.

Tanpa kita sedari, sebenarnya ramai umat Islam memilih jalan ber’uzlah’ untuk memastikan diri mereka tidak terjatuh ke dalam godaan dunia. Mereka mengasingkan diri daripada masyarakat untuk memberi perhatian kepada ibadah. Namun adakah ‘uzlah’ sedemikian yang diamalkan Nabi dan para sahabat? Memang benar Nabi beriktikaf di 10 malam terakhir bulan Ramadan dan bukankah masjid Nabi itu merupakan pusat aktiviti masyarakat ketika itu? Oleh itu ‘uzlah’ yang diajarkan di dalam Islam sebenarnya adalah ‘uzlah’ di dalam jiwa. Kita masih tetap bergaul dengan masyarakat tetapi hati kita bersih dan suci daripada dunia.

Pergaulan dengan masyarakat hukumnya wajib untuk menunaikan tuntutan amar makruf nahi mungkar. Siapa lagi yang akan membawa dakwah ke tengah-tengah masyarakat kalau bukan para daie?

Begitulah bagaimana Islam mendidik umatnya dalam berhadapan dengan arus kebendaan yang melalaikan. Umat Islam diseru supaya kembali kepada Islam dan meneliti kehidupan para salafus soleh seterusnya menjadikan Islam sebagai manhaj hidup di zaman kebendaan di akhir zaman.

Kenyataan rasmi ISMA mengenai 1Melayu 1Bumi

April 25, 2011 4 comments

Merujuk kepada artikel yang ditulis oleh Timbalan Ketua Pengarang Utusan, Datuk Zaini Hassan bertarikh 20 April di dalam akhbar Utusan Malaysia, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyambut baik seruan kesatuan Melayu yang dilontarkan.

Selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam, ISMA berpendapat seruan tersebut amat bertepatan dengan slogan yang dibawa oleh ISMA iaitu ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’.

Bangsa Melayu selaku penghuni asal Tanah Melayu adalah golongan yang paling berhak ke atas kepimpinan negara dan menjadi penentu rupa bentuk kenegaraan dan masa depan negara.

Atas dasar itu, ISMA melihat ketuanan Melayu wajib dipertahankan. Ketuanan yang diertikan sebagai memelihara kedaulatan, pembelaan maruah bangsa dan masa depan negara inilah yang mampu merealisasikan aspirasi politik Islam sepenuhnya.

Politik Islam harus diperjuangkan bagi menegakkan sistem yang memelihara kepentingan kehidupan manusia untuk mencapai kesejahteraan hidup dunia dan kebahagiaan akhirat.

Oleh yang demikian, kesatuan bangsa Melayu bukan sahaja akan membawa keuntungan kepada bangsa Melayu itu sendiri bahkan akan mendaulatkan agama Islam.

Ketuanan Melayu Islam di Malaysia adalah satu nilai tetap yang mesti dihormati. Ia tidak akan tercapai melainkan selepas bangsa Melayu bersatu dan kuasa politik kekal di tangan orang Melayu.

Perpecahan menyebabkan bangsa Melayu lemah dan terus ketinggalan di belakang. Jika perkara ini berterusan, kuasa politik yang merupakan kuasa tunggal yang milik bangsa Melayu akan bertukar tangan kepada bangsa lain seterusnya ketuanan Melayu Islam akan terganggu-gugat.

ISMA menyeru persepakatan antara pihak nasionalis dan Islamis khususnya dan seluruh bangsa Melayu amnya demi masa depan bangsa Melayu dan agama Islam. Politik kepartian yang tidak sihat dilihat amat merugikan bangsa Melayu. Persepakatan yang dilaungkan bukanlah bermaksud mencairkan identiti masing-masing untuk berada di bawah satu logo, tetapi persepakatan bersama dalam usaha memelihara ketuanan Melayu dan ketuanan Islam.

Bangsa-bangsa lain masih boleh menikmati kehidupan yang aman tanpa dinafikan hak mereka sedikit pun. Hal ini kerana ketuanan Melayu dan kedaulatan Islam sama sekali tidak akan menindas bangsa lain sebagai menghormati perlembagaan dan hak kemanusiaan.

Kemenangan DAP di 12 kerusi DUN Sarawak baru-baru ini dianggap sebagai kejayaan di dalam sistem demokrasi di negara ini. Ia dianggap sebagai bukti perpindahan undi Cina kepada pihak pembangkang. Jika perkara ini berterusan berlaku pada PRU 13, ISMA khuatir kedudukan bangsa Melayu sebagai pemegang tampuk pemerintahan negara bakal tercabar.

Kesimpulannya, ISMA sekali lagi menyambut baik seruan kesatuan Melayu agar kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam terus terpelihara.

“Melayu Sepakat, Islam Berdaulat”

Kategori:Uncategorized

Sheikh Dari An Najd

Berkata Syeikh Al-Mubarakfuri dalam kitab sirahnya, Ar-Rahiq Al-Makhtum, “Setelah datang pembesar-pembesar Quraisy di Dar An-Nadwah seperti waktu yang ditetapkan, muncul di hadapan mereka Iblis berupa seorang syeikh yang sangat mulia memakai batlah dan berdiri di pintu. Mereka pun bertanya, “Siapakah gerangan syeikh ini?” Dia menjawab, “Seorang syeikh dari Najd telah mendengar tentang mesyuarat hari ini, lalu ia hadir bersama untuk mendengar apa yang kamu hendak bincangkan, boleh jadi dia ada nasihat dan pandangan yang bernas.” Mereka jawab, “Kalau begitu silakan masuk.”

Hakikat syaitan sebagai musuh kita dan musuh dakwah kita sudah lama kita tahu. Allah sentiasa memperingatkan kita tentang tipu daya syaitan, tetapi jarang kita mempedulikannya dalam rancangan dakwah kita.

Setelah melakarkan perancangan dakwah dalam kitab Al-Masar dengan menggunakan segala kemahiran ilmu perancangan, dalam kita Sina’at Al-Hayat, Syeikh Muhammad Ahmad Ar-Rashid kembali mengingatkan kita dengan mimpi orang soleh, firasat mukmin dan sebagainya sebagai sebahagian daripada faktor yang perlu diambil kira dalam perancangan dakwah Islam. Tetapi seingat saya beliau tidak pernah pula menyebut tentang peranan syaitan dalam menggagalkan rancangan dakwah. Justeru saya cadangkan satu lagi unsur penting dalam dalam khazanah ilmu dakwah iaitu kemampuan da’ie untuk melihat peranan sulit yang dimainkan oleh syaitan jin dalam menggagalkan atau menghalang jalan dakwah.

Saya rasa ia sangat relevan sekali kerana ia disebut dengan jelas dalam Al-Quran dan juga dalam sunnah Rasulullah SAW. Kita bukan sahaja berhadapan dengan musuh luaran (syaitan manusia) yang dapat kita lihat, tetapi juga musuh yang tidak dapat kita lihat atau yang menjelma berbagai-bagai rupa iaitu syaitan jin.

Dalam Surah An-Nas, Allah mengajar Nabi Muhammad supaya berdoa, “Aku berlindung daripada kejahatan was-was yang meragukan yang mengintai-intai.” Yakni sekejap muncul sekejap hilang. Memang dalam tabiat dakwah, syaitan tidak berani berhadapan dengan kebenaran. Apabila jauh dari kebenaran ia muncul dan bila berhadapan dengan hujah kebenaran ia menghilangkan diri. Yang memberi was-was dalam dada manusia adalah syaitan dari kalangan jin dan manusia. Ada syaitan manusia dan ada juga syaitan jin yang menyerupai manusia.

Itulah yang telah berlaku kepada Nabi Adam dan Hawa ‘Alaihimas Salam. “Lalu syaitan menimbulkan was-was (keraguan) kepada keduanya, supaya terbuka aurat dan mereka dicampak ke bumi. Demikian bagaimana peranan syaitan dalam mempengaruhi tingkah laku manusia dan menggunakan pelbagai cara untuk menghalang dakwah, bukan sahaja melalui bisikan di dalam hati, bahkan juga sehingga menjelma sebagai manusia.

Antaranya juga kisah yang disebut dalam sirah, iaitu sewaktu peristiwa Bai’atul ‘Aqabah yang kedua. Setelah selesai memeterai perjanjian bai’ah dan mereka hampir bersurai, ia ditemui oleh seorang syaitan.

Oleh kerana ia penemuan di peringkat akhir, maka tidak mungkin untuk menyampaikan berita kepada pembesar Quraisy melaui cara rahsia supaya mereka dapat buat tindakan mengejut semasa majlis sedang berlangsung, syaitan itu bangkit dan pergi ke satu tempat tinggi dan berteriak sekuat hati, “Wahai penghuni rumah, tidakkah kamu mahu ambil tindakan terhadap Muhammad dan sekumpulan yang murtad bersamanya? Mereka telah berkumpul untuk memerangi kamu?” [Rahiq Makhtum, Al Mubarakfuri – ms 180]

Dan dalam kisah sewaktu di Dar An-Nadwah di mana syaitan muncul dalam mesyuarat berupa seorang syeikh dari An-Najd, “Setelah datang pembesar-pembesar Quraisy di Dar An-Nadwah seperti waktu yang ditetapkan, muncul di hadapan mereka Iblis berupa seorang syeikh yang sangat mulia memakai batlah dan berdiri di pintu. Mereka pun bertanya, “Siapakah gerangan syeikh ini?” Dia menjawab seorang syeikh dari An-Najd ada mendengar tentang mesyuarat hari ini, lalu ia hadir bersama untuk mendengar apa yang kamu hendak bincangkan, boleh jadi dia ada nasihat dan pandangan yang bernas.” Mereka menjawab, “Kalau begitu silakan masuk!” [Rahiq Makhtum, Al-Mubarakfuri – ms 189]

Syaitan yang berupa syeikh dari An-Najd itu menyertai pembesar Quraisy untuk sama-sama bermesyuarat bagaimana menghalang dakwah dan menghapuskan Rasulullah SAW. Dalam keadaan biasa, syaitan mendampingi manusia dengan memberi pelbagai bentuk bisikan was-was dan keraguan dalam diri manusia. Dan dalam keadaan lain ia menyampaikan was-was dengan cara berselindung di sebalik manusia lain. Dalam keadaan ia tidak boleh memainkan peranan yang berkesan dengan cara berselindung, syaitan mungkin muncul dalam bentuk yang nyata seperti yang dapat kita lihat dari kedua peristiwa di atas.

Kita selalunya mengambil kira musuh-musuh yang dapat kita lihat semata-mata, tetapi kita sering alpa terhadap peranan musuh yang tidak dapat kita lihat.

Dalam kisah-kisah yang saya sebutkan tadi ternyata peranan syaitan sangat signifikan. Mereka menasihat dan memberi idea, membantu mendedahkan rahsia dan sebagainya. Jadi, syaitan boleh buat banyak perkara secara tersembunyi dan juga nyata dalam menggagalkan dakwah kita. Oleh itu kita jangan hanya menghisab musuh dari sudut luaran sahaja tetapi juga harus dari segi dalaman.

Ini menuntut daripada kita kesiapsiagaan yang amat tinggi, kewaspadaan yang berterusan terhadap tipu daya syaitan dari kalangan manusia dan juga jin, atau jin yang berupa manusia.

Justeru tidak cukup kita sekadar bergantung kepada kepandaian akal dan pemikiran sahaja dalam membuat rancangan tetapi hendaklah disokong oleh kekuatan rohani dan kebergantungan dengan Allah SWT. Allah telah menegaskan bahawa syaitan adalah musuh, bahkan musuh kita yang sebenarnya ialah syaitan. “Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka kamu jadikanlah ia sebagai musuh.”

Oleh itu, dalam kita mengharungi liku-liku perjuangan jangan sekali-kali leka dalam ingatan kita bahawa kita sebenarnya sedang berlawan dengan syaitan.

Justeru, saya menyeru diri saya dan anda sekalian agar sentiasa beriltizam dengan sunnah, muraqabah Allah, merasai kebersamaan dengan Allah (Istihdhar Maiyyatullah), mendekatkan diri kepada Allah dengan doa dan munajat, menjernihkan tawajjuh kepada Allah SWT di setiap masa dan ketika, minta tolong dan sentiasa bergantung kepadanya dalam setiap ketika dan dalam semua perkara. Kita serahkan urusan mengendalikan tipu daya syaitan kepadaNya dengan kita bersungguh-sungguh menyelesaikan tanggungjawab ubudiah kita terhadapNya dengan penuh taqwa, pergantungan dan penyerahan diri.

Syaitan hanyalah fitnah dan tipu daya, ia akan kalah bila berhadapn dengan cahaya kebenaran (Al-Haq) dari Tuhan.

“Apabila datang kebenaran akan hilanglah kebatilan. Sesungguhnya kebatilan itu sifatnya sangat mudah hilang.”


Kategori:renungan

Serangan ke atas Libya: Satu Pencerobohan

Mac 21, 2011 3 comments

Saya berasa kesal terhadap serangan udara Amerika dan sekutunya ke atas Libya yang mengorbankan ramai rakyat yang tidak bersalah.

Serangan yang diketuai Amerika dan disertai negara sekutu seperti Britain, Itali, Perancis dan Kanada dianggap sebagai satu pencerobohan sekalipun mereka menggunakan alasan mahu menjaga dan melindungi rakyat Libya daripada terus dizalimi oleh Presiden Gadaffi.

Baca selanjutnya…

Kategori:kembara

Sapa dahulu sebelum bertanya tentang kerja

Hubungan kita sesama pendakwah dalam sesebuah organisasi secara asasnya dibina di atas asas ukhuwah. Ukhuwah adalah ikatan perhubungan antara dua individu muslim.

Perkataan ukhuwah asalnya digunakan untuk saudara kandung atau saudara dari segi hubungan rahim. Kalimah ukhwah digunakan dalam konteks hubungan seagama untuk membayangkan betapa rapatnya hubungan antara seorang muslim dengan muslim yang lain seolah-olah hubungan adik-beradik.

Baca selanjutnya…

Kategori:Uncategorized Tag:

Adakah Revolusi Akan Berlaku DI Malaysia?

Februari 16, 2011 3 comments

Agin perubahan sedang bertiup kencang di seluruh dunia Islam. Semua pihak sedar bahawa masyarakat mahukan perubahan. Apa arah perubahan itu tidaklah siapa dapat pastikan secara tepat, tetapi semua orang dapat lihat kocakan disana sini.

Setelah menyaksikan kejayaan demontrasi  di Tunis rakyat Mesir bangkit, oleh kerana kedegilan Murabarak untuktunduk kepada tuntutan, demontrasi beretukar menjadi revolusi. Kini seluruh rantau Arab bergolak menuntut perubahan yang sama.

Baca selanjutnya…

Kategori:komentar

Kebangkitan Rakyat Mesir (Arab), Pendirian Ikhwan dan Dimensi Perubahan

Januari 31, 2011 12 comments

Jangkaan bahawa Mesir akan meletup bila-bila masa bukan satu cakap-cakap yang baru. Ia telah diperkatakan semenjak 5 atau 6 tahun lalu. Cuma bila masa yang tepat dan apa pencetusnya sahaja tidak diketahui. Negara yang diperintah secara kekerasan dan sistem satu parti ini sudah lama bengkrap.

Oleh itu saya tidak terkejut langsung dengan apa yang berlaku, bahkan beberapa kali dalam tulisan saya, saya nyatakan bahawa tempoh rejim lama ini sudah berakhir sah lakunya. Hubungan dengan rakyat semakin hari semakin merenggan. Pemerintah di satu lembah dan rakyat dilembah yang lain. Pemerintah berkerja untuk dirinya dan rakyat hidup tertakan, kelaparan, dan ketakutan.

Baca selanjutnya…

Kategori:komentar

Melihara Keseimbangan Rahsia Kehebatan Seorang Murabbi

Januari 21, 2011 6 comments

Dalam dakwah unsur tarbiah dan pengurusan sama penting. Sebagaimana tarbiah dianggap thawabit (perkara tetap) begitu juga berpegang kepada peraturan juga adalah thawabit.

Menjaga keseimbangan antara dua unsur ini merupakan ujian kematangan kepimpinan (nuqabak dan masulin) dalam organisasi dakwah. Berlebihan atau Kecuaian dalam salah satu akan menyebabkan kecacatan dalam perjalanan dakwah keseluruhan.

Baca selanjutnya…

Kategori:fikrah

ISMA Tidak Tolak Demokrasi

Januari 5, 2011 16 comments

Adakah ISMA menolak demokrasi atau anti kepada penglibatan dalam pilihan raya? Kadang-kadang sesetengah tulisan saya atau juga sesetengah pimpinan ISMA yang lain ditanggapi secara salah seakan-akan ISMA menolak penglibatan dalam pilihan raya.

Saya ingin berterus terang kepada semua kerana saya tidak mahu isu ini mengelirukan sesiapa termasuk ahli ISMA sendiri.

ISMA tidak menolak elemen-elemen positif yang wujud dalam demokrasi pilihan raya. ISMA menerima:

  1. pertukaran kuasa secara aman
  2. hak rakyat untuk muhasabah pemerintah
  3. hak rakyat untuk sama-sama menentukan masa depan negara

Baca selanjutnya…

Kategori:fikrah

Islam, Liberalisme dan Autokratik

November 2, 2010 3 comments

Liberalisme dalam politik maksudnya mengurangkan kuasa pemerintah dan meluaskan ruang kebebasan.

Peranan kerajaan dalam sistem demokrasi ialah untuk menjaga kebebasan individu bukan menjadi tuan yang mengurniakan kebebasan kepada sesiapa yang dia kehendaki dan menahannya dari sesiapa yang dia kehendaki.

Baca selanjutnya…

Kategori:fikrah