Utama > fikrah > DISIPLIN DALAM AMAL JAMA’I

DISIPLIN DALAM AMAL JAMA’I

Antara perkara penting yang ditekankan diawal perjalanan tarbawi kita selain kefahaman, akhlak Islam dan amalan fardi ialah perkara-perkara yang berkaitan dengan disiplin.

Bila kita sebut kalimah disiplin, makna yang paling hampir kepada minda kita ialah taat, kesungguhan datang program, persiapan untuk tarbiah, menjaga saluran, menjaga rahsia, iltizam adab mengemukakan pandangan, istisyarah (menanyakan pendapat) masul dan sebagainya. Ini adalah perkara-perkara penting yang menjadi ukuran kepada prestasi tarbawi seseorang.

Orang yang baik dari baik dari sudut ini maka kita anggap orang yang soleh untuk amal jama’i dan sesuai untuk bergabung dalam dakwah kita.

Alhamdulillah proses itu telah melahirkan generasi kita hari ini. Makna-makna itu sebati dengan diri kita dan menjadi unsur kecemerlangan dalam amal dakwah kita hingga kini. Sumbangannya kepada kesinambungan amal dan dakwah ini sangat besar.

Pada pendapat saya ia harus menjadi nilai yang berkekalan yang menjadi penekanan yang tidak mungkin menerima kelonggaran dalam amal jama’i kita untuk generasi seterusnya.

Walaubagaimana pun itu satu tahap dalam pelajaran haraki kita, ia bukan ilmu yang sudah lengkap dan sempurna. Penglibatan yang lebih terkedepan dalam amal haraki mengajar kita pengalaman-pengalaman dan penemuan-penemuan baru yang lazim bagi menyempurnakan gambaran untuk amal jama’i yang lebih ke depan.

Justeru ada dua pemerhatian penting yang ingin saya kongsikan dibawah topik yang kita bincangkan pada kali ini.


Pertama:

Kadang-kadang pemberatan kita berlebihan dalam penilaian kepada unsur-unsur disiplin tersebut menyebabkan kita terlepas pandang dalam memberi penekanan terhadap aspek kualiti lain atau lebih tepat aspek potensi diri yang juga diperlukan dalam kerja-kerja untuk mencapai objektif dalam amal jama’i.

Ini menyebabkan tanpa kita sedari, kita mengumpulkan orang-orang yang baik (dengar cakap) tetapi tidak berpotensi untuk melakukan kerja. Lebih sedih lagi kadang-kadang merekalah yang kita gelarkan sebagai kaedah sulbah yang kita letak pengharapan untuk memikul tanggungjawab pengembangan dakwah bagi marhalah akan datang.

Antara perkara negatif yang lahir dari pemahaman yang tidak jelas terhadap tabiat penekanan terhadap disiplin juga ialah terlalu melewatkan penglibatan mad’u ke dalam medan amal. Kita sebut, seseorang itu perlu diproses terlebih dahulu dalam lingkungan amal terhad/tarbawi rutin sehingga mantap baru boleh diberi tanggungjawab di medan amal dakwah yang memiliki cabaran terbuka.

Walaupun nampak munasabah, namun jika kita teliti dalam perlaksanaan, ia juga membawa berbagai kesan negatif. Ini kerana orang yang ditarbiyah dalam lingkungan itu dan berjaya dalam disiplinya, bila keluar ke medan amal baru akan sekali lagi teruji dan kemungkinan gagal dari sudut disiplin juga besar. Kita sepatutnya faham bahawa cabaran medan juga termasuk dalam penilain tarbawi yang sangat penting. Di situ medan ujian yang sebenar sama ada apa yang dipelajari dalam usrah dan katibah dilaksanakan dalam medah amal.

Sebab itu kaedah sulbah bagi saya tidak boleh dilahirkan dalam lingkungan wasail tarbiyah rutiniyyah dan terhad, sebaliknya mereka yang perform dalam cabaran penglibatan yang terbuka itulah yang akhirnya dinilai sebagai perform dan layak dianggap kaedah sulbah.

Kedua:

Pemerhatian yang lebih penting dalam kita mengaplikasikan konsep disiplin ialah skop pemahaman kita terhadap disiplin itu sendiri. Penekanan kita terhadap nilai-nilai disiplin yang disebutkan terhad kepada nilai-nilai menjaga kesejahteraan tanzim yang tidak mencukupi jika dilihat dari aspek peranan disiplin dalam menetukan produktiviti yang lebih menyeluruh.

Saya mencadangkan agar kita melihat fungsi disiplin dalam amal jama’i digarap lebih luas dari aspek kesejateraan tanzim semata-mata. Mungkin satu masa dulu isu keselamatan tanzim begitu dititik beratkan sehingga bila sebut disiplin maka maksudnya unsur-unsur yang berkaitan dengan keselamatan tanzim.

Kini dakwah telah berkembang dan peranan lebih luas, medan kian terbuka serta persaingan semakin besar dan mencabar, maka penekanan terhadap disiplin harus mengambil dimensi yang lebih luas dari semata-mata aspek keselamatan tanzim.

Disipilin adalah rahsia kemajuan, keberkesanan, daya saing dan produktiviti. Seorang individu atau sebuah jamaah, bahkan sebuah umat yang mantap disiplinnya akan lebih maju dan produktif berbading dengan yang lemah disiplinnya.

Saya berani mengatakan bahawa penyakit kemunduran yang dihadapi oleh umat Islam hari ini antaranya berpunca dari masalah disiplin. Kita tidak kekurangan sumber, harta, otak manusia yang bagus, persekitaran dan sebagainya tetapi kita kurang disiplin dalam mengendalikan sumber itu. Itu yang membuatkan kita tidak berjaya.

Kias perkara itu dengan harakah dakwah. Jika ahlinya berdisiplin, menjaga waktu, teratur dalam menjalankan kerja, cekap menggunakan potensi, bijak mengurus sumber dan seumpamanya tentu harakah itu akan melonjak maju dengan cepat meninggalkan yang lain. Perkara-perkara ini telah disebut oleh Imam Al Banna seperti “teratur dalam urusan”, “menjaga waktu” dan sebagainya tetapi mungkin kita kurang perasan dan silap/tidak tegas dalam membuat penekanan.

Saya mencadangkan supaya kita menerapkan mafhum disiplin yang menyeluruh ini untuk kita kuatkuasakan dalam pemeringkatan tarbiyah kita. Nilai disiplin bukan sahaja dalam usrah, dalam menghadiri program tarbiah dan apa-apa aktiviti yang berkaitan tarbiah sahaja tetapi juga disiplin waktu makan, bermain, berkerja, bergaul, berniaga dan sebagainya, bukan dari aspek akhlak Islam (hukum hakam) sahaja tetapi juga dari segi disiplin kejayaan (etika kecemerlangan kerja).

Seseorang yang tidak menjaga waktu, tidak terurus hidupnya dengan baik dan tidak memiliki disiplin-disiplin yang menjamin produktiviti dibidang dakwah dan juga kerjaya tidak layak menyertai dakwah ini. Dan dia tidak layak ditingkatkan keperingkat tarbawi seterusnya. Dengan itu kita dapat melahirkan manusia yang selamat dan juga produktif.

Saya bimbang melihat generasi kini, sebahagian yang telah lama bersama dakwah, mundar mandir ikut program ke hulu ke hilir tetapi, jaga waktunya lemah, pengurusan diri lemah, keyakinan dan mobilisasi potensi diri lemah, tidak serius buat kerja, kurang kecekalan, kesungguhannya dan keazaman pun lemah, dan banyak lagi kekurangan dalam banyak aspek disiplin kejayaan yang diharapkan.

Kategori:fikrah
  1. Ogos 18, 2008 at 7:08 am

    Mafhum disipilin yang menyeluruh- satu isu yang membuka minda ana sekali lagi.

    Benar, biasanya bila sebut disiplin dalam amal jamaie, akan fikir = keselamatan.

    Mungkin ust boleh berkongsi sedikit demi sedikit tentang wasilah amali ke arah mencapai peribadi yang menepati 10 muwasafat seperti dinyatakan oleh al-Banna.

  2. Ogos 18, 2008 at 2:15 pm

    AlhamduliLlah, satu perkongsian yang menarik. BarakaLlah ya ustaz.

  3. suhailsufian
    September 1, 2008 at 12:35 pm

    Alhamdulillah, menjelaskan fahaman disiplin amal jamai’e
    Cuma kalau ustaz boleh jelaskan sedikit tentang kayu pengukur sejauh mana kita dikira berjaya dlm mendisiplinkan diri

    – suhailsufian http://www.suatuharinanri.wordrpess.com

  4. U_I
    September 21, 2008 at 3:31 am

    Alhamdulillah, moga penerangan ertikata disiplin ini dapat mengetuk hati sekalian ikhwah akhawat kita. Kekadang kita lihat, dia ikhwah/akhawat kita, memang golongan penggerak, tetapi bila lihat suasana di rumah, berbeza dengan apa yang patut kita faham tentang tersusun urusan, berdisiplin. Moga tidak wujud dualisme dan sekularisme secara tidak langsung dalam diri daie yang ditarbiyah. Mungkin kita terlupa bahawa Islam itu merangkumi kerseluruhan urusan hidup di dunia, bukan terhad kepada urusan agama sahaja.

  5. mawar
    April 8, 2009 at 2:31 pm

    mmg terketuk rsenyer….
    ana mmg x pndai urs mse…
    kadang rse bersalah pulah kat jemaah.huhu…
    tolong ana….

  1. Ogos 29, 2008 at 5:28 am

Tinggalkan komen